GEORGE TOWN – Pakatan Harapan akan mengumumkan mengenai logo atau simbol yang akan digunakan oleh gabungan empat parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) minggu depan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Pakatan Harapan Selasa ini.
“Keputusan muktamad (mengenainya) akan diumumkan minggu depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada 23 Mac lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan pendaftaran Pakatan Harapan masih tidak dapat diproses.
Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata ia kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), satu daripada parti komponen yang menyertai pakatan pembangkang, belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen sepertimana dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Pakatan Harapan menghantar permohonan pendaftarannya pada Julai tahun lepas.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Pakatan Harapan, Gobind Singh Deo meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menunggu keputusan mahkamah mengenai pendaftaran pakatan itu sebelum mengeluarkan sebarang arahan.
Beliau berkata arahan SPR supaya Pakatan Harapan tidak menggunakan gambar pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bahan kempen PRU14 seolah-olah menunjukkan agensi itu tidak menghormati proses mahkamah. – BERNAMA