KUALA LUMPUR – Kumpulan Pretty Ugly, yang telah sekian lama menyepi, tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Pasti Kau Milikku’ yang mengandungi elemen kemelayuan.
Vokalis utama kumpulan itu, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin berkata berkata single terbaharu itu adalah hasil kerjasama dengan pencipta lirik terkenal Azam Dungun.
“Ini adalah eksperimen pertama kami menggabungkan susunan muzik moden dan tradisional, dan kami harap lagu ini diterima ramai,” katanya kepada Bernama.
“Saya pertaruh lagu ini kerana lagu ini adalah eksperimen pertama saya untuk mencipta lagu yang betul-betul mempunyai elemen muzik Melayu diubah (menjadi) lebih moden,” katanya.
Neves berkata single yang dilancarkan bulan lepas diterbitkan oleh Cdbagasi Music itu mengenai ketabahan seorang lelaki terhadap cinta tidak berbalas yang akhirnya diterima.
“Beza dengan lagu Diari Seorang Lelaki ialah muzik berbeza. Melodi lagu ni lebih kepada berbau Melayu, cuma susunan muzik kami modenkan. Diari Seorang Lelaki ialah genre acid jazz, Pasti Kau Milikku bergenre moden rock,” katanya
Kumpulan itu yang turut dianggotai Mohammad Raziz Zainal Abidin (Jay/ gitar utama), Nik Muhammad Histami Nik Mohammad Din (Neti ‘O’/ dram) dan Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad/ bass) lebih senang menyajikan lagu yang menjadi permintaan peminat masa kini, katanya.
Beliau berkata lagu terbaharu ini turut dimuat naik dalam YouTube, dan bagi peminat, mereka boleh melayari laman sesawang Facebook Pretty Ugly/ band atau Facebook dan Instagram peribadinya nevespugly untuk mengikuti perkembangan mereka.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1997 dengan nama Seven itu menukar nama kepada Pretty Ugly selepas menandatangani kontrak dengan KRU Records bagi mengelak menumpang kemashyuran Sheila On 7 dari Indonesia yang sedang popular pada masa itu. – BERNAMA