SIBU – Seorang pemandu lori treler kontena maut selepas tercampak keluar dan dihempap kenderaan yang dipandunya itu dalam kemalangan jalan raya kendiri di Kilometer 22.4 Jalan Sibu – Bintulu malam tadi.
Tan Ah Chuan, 59, dilaporkan memandu seorang diri dalam perjalanan dari Bintulu ke Sibu semasa kejadian pada 10.21 malam itu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan itu dipercayai terbabas lalu terbalik di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mayatnya dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya semasa dihubungi.
Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, pemandu itu tercampak keluar sebelum dihempap oleh kepala lori treler itu.
Pasukan Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk pemeriksaan. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..