PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kualiti dan akses pendidikan kini menjadi milik semua rakyat Malaysia hasil pendemokrasian bidang itu yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Katanya bidang pendidikan sentiasa mendapat keutamaan tertinggi dalam susunan agenda kerajaan selama ini dan ia dapat dilihat apabila pada tahun ini sahaja sebanyak RM56 billion telah diperuntukan untuk bidang berkenaan.
“Jika kita nak hitung subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap pelajar memang begitu besar sekali yang kadang-kadang kita tidak merasai atau tidak mengetahui jumlah besar yang diberikan kepada setiap murid dan pelajar dalam sistem pendidikan.
“Umpamanya sekolah rendah, pukul rata sebanyak RM8,000 setahun ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya setahun untuk setiap murid manakala sekolah menengah pula sebanyak RM9,000 ringgit setahun dan untuk peringkat pendidikan di insitusi tinggi awam pula 90 peratus kos pendidikan ditampung kerajaan.
“Justeru, ini melambangkan komitmen tinggi terhadap bidang pendidikan dalam konteks untuk membina sebuah negara bangsa dalam mengubah nasib kehidupan seseorang dan negara,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sabtuna Hari Guru dan Kecemerlangan Pendidikan Pekan di Dewan Canselori Sultan Ahmad Shah, Universiti Automotif DRB-Hicom, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; calon Barisan Nasional (BN) Pulau Manis, Datuk Seri Khairuddin Mahmud; calon BN Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Fuzi Sh. Ali; calon BN Bebar, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff dan calon BN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun.
Hadir sama Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail; Pengerusi Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi dan Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Miftah Surif.
Najib yang pernah menjadi Menteri Pendidikan berkata jumlah perbelanjaan pendidikan Malaysia secara purata adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding perbelanjaan negara ASEAN lain dan ia jauh berbeza dengan negara maju dan negara membangun.
“Di negara kita pada masa kini, dalam konteks untuk mengubah nasib seseorang itu ia bukan lagi dibezakan dengan peluang untuk mendapatkan pendidikan sebaliknya lebih kepada daya kesungguhan mencapai apa yang diimpikan kerana semua akses dalam bidang ini telah kita sediakan,” katanya.
Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan, berkata Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015 adalah satu lagi transformasi yang dilakukan kerajaan dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi dengan menyediakan modal insan berkemahiran dalam bidang sains dan teknologi.
“Saya percaya masih banyak lagi perkara yang kerajaan boleh lakukan untuk melonjakkan bidang pendidikan kerana menjadi hasrat kita melihat generasi muda memiliki kemahiran berfikir secara kritis, memiliki ciri pemimpin berjaya, menguasai dwibahasa, elemen kerohanian dan identiti nasional secara berterusan.
“Ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sebagai asas bagi kita mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan pembangunan modal insan Transformasi Nasional 2050,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga tidak pernah meminggirkan jasa dan kebajikan guru-guru yang menjadi tulang belakang dalam membentuk modal insan di negara ini dengan memberikan pelbagai insentif kepada mereka.
“Semasa saya menjadi menteri pendidikan saya perkenalkan kenaikan pangkat secara ‘time-based’ yang pertama dalam skim perkhidmatan awam di negara ini dan bulan lalu saya umumkan gred lapisan kenaikan pangkat baharu iaitu Gred DG56 untuk pegawai perkhidmatan pendidikan,” katanya.
Pada majlis itu Najib turut menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di kawasan Parlimen Pekan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…