PADANG TERAP – Kesusahan hidup suatu masa dahulu apabila terpaksa berkongsi ubi kayu yang dipotong kecil bersama adik beradik dan berkongsi sebatang pensel untuk digunakan ke sekolah tidak mungkin pernah dilupakan Halimah Hashim, 45.
Generasi kedua peneroka di Felda Lubuk Merbau itu berkata ia hanyalah sebahagian daripada memori perit sewaktu mula-mula berpindah bersama keluarganya menyertai rancangan Felda pada lewat tahun 1960-an, dengan hanya berbekalkan elaun bulanan berjumlah RM69 sahaja sewaktu itu.
“Bayangkan kami kalau makan nasi pun, lauk tak ada, buh (letak) minyak ikan saja, kena kongsi adik beradik 14 orang,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui Bernama di rumahnya yang terletak di Felda Lubuk Merbau di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun Halimah berkata, ada pelangi selepas hujan, begitulah juga yang boleh disamakan dengan kehidupan mereka sekeluarga selepas kerajaan Barisan Nasional tidak putus-putus menyalurkan bantuan, kemudahan dan insentif kepada mereka sehinggalah ke hari ini.
Ketua Peneroka Felda berkenaan selama 13 tahun, Mat Awang Saad, berkata, mana mungkin mereka dapat melupakan jasa pencetus idea tanah rancangan Felda, iaitu perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussien yang membuka ruang dan jalan untuk mereka mencari rezeki sebagai peneroka.
Beliau yang merupakan antara generasi pertama di Felda itu berkata, legasi pembangunan untuk warga Felda malah diteruskan oleh anak Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui perhatian tidak berbelah bahagi dan bantuan yang berterusan.
“Najib mempedulikan warga Felda atas kapasiti bapanya (Tun Abdul Razak) sebagai bapa pembangunan yang telah ‘melahirkan’ Felda, beliau (Najib) menganggap peneroka Felda sebagai adik beradiknya,” katanya.
Dalam Bajet 2018 yang lalu Najib mengumumkan durian runtuh buat peneroka Felda apabila melalui bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 dan pengembalian wang Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) (SES) oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 hingga 2016.
Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda, manakala hampir RM200 juta turut diperuntukkan kepada Felda bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.
Mat Awang berkata, walaupun bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mahu mempengaruhi lebih 100,000 penerka Felda di negara ini untuk menjatuhkan Najib, beliau berkata mereka bukanlah golongan yang tidak mengenang budi dan jasa.
“Untuk apa Dr Mahathir nak selamatkan Felda, Felda sudah selamat di bawah Najib. Dr Mahathir mungkin boleh janji macam-macam tapi kalau ikut faktor usia yang sudah cecah 93 tahun, nak memerintah (negara) nanti bukannya dia,” katanya.
Dr Mahathir bersama pakatan pembangkang yang lain baru-baru ini giat menjalankan siri jelajah ceramah Selamatkan Felda! Selamatkan Malaysia! dengan menjanjikan pelbagai tawaran antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda selain menakut-nakutkan mereka bahawa Najib akan merampas tanah peneroka Felda.
Sementara itu Noraini Abdullah, 54, berkata warga Felda amat merasa terharu dengan sumbangan Najib dalam meneruskan kesinambungan bapanya malah bantuan secara langsung daripada wakil rakyat yang mewakili parlimen Padang Terap juga adalah tidak terkira.
“Datuk Seri Mahdzir Khalid (penyandang anggota parlimen Padang Terap) kalau turun kawasan dia tidak akan pernah lupa singgah di Felda ini, banyak bantuan telah diberikan antaranya membina masjid, bantuan keusahawanan, bantuan anak cemerlang dan macam-macam lagi,” katanya.
Felda yang terletak di pedalaman Kedah itu ditubuhkan pada tahun 1968, ketika ini mempunyai 769 peneroka dengan anggaran 5,000 penduduk. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..