PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri beberapa kotak rokok di sebuah kedai serbaneka.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fendifadli Mohd Razi, 30, selepas dia mengaku bersalah mencuri lima kotak rokok milik kedai serbaneka 7-Eleven dan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Dia melakukan kesalahan itu di kedai serbaneka 7-Eleven, di Jalan PJS 8/2, Dataran Mentari, Sungei Way, di sini, pada 7.15 pagi, 1 April lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pemenjaraan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat awam namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menjaga bapa yang menghidap penyakit angin ahmar selain penanggung utama keluarga.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah masuk ke dalam premis kedai serbaneka itu sebelum memecahkan sebotol minuman keras untuk menakutkan pekerja kaunter serta meletakkan beberapa tin air di kaunter pembayaran.
Lelaki itu kemudian mengarahkan pekerja kaunter untuk mengambil lima kotak rokok jenama Dunhill dan terus berlari keluar bersama kesemua kotak rokok itu tanpa membuat pembayaran. – BERNAMA