SEREMBAN – Pengundi muda dan pengundi baharu berdaftar yang bakal mengundi buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun ini harus bijak dalam membuat penilaian terhadap maklumat bermotif politik yang disebar luas atau menular dalam media sosial.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengundi muda banyak terdedah dengan pelbagai maklumat dan mereka mesti faham mana maklumat yang betul dan mana maklumat yang salah.
“Pengundi muda ini adalah mereka yang banyak menggunakan media sosial dan media sosial ini pula kebanyakan maklumatnya kadang-kadang banyak yang tidak betul. Itu sebabnya sekarang sudah ada Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang merupakan usaha kerajaan untuk mengawal penyebaran berita palsu yang boleh mengugat ketenteraman dan keselamatan negara.
“RUU ini amat baik bagi membendung berita palsu. Negara dan masyarakat boleh jadi rosak disebabkan oleh berita-berita palsu yang dimainkan dan jika berita palsu ini tidak ditangani, ia boleh menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ‘Santai Hi-Tea’ Pemimpin Bersama Penduduk Taman Bandar Ekar, Rantau anjuran Persatuan Penduduk Taman Bandar Ekar Fasa 2, Rantau dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bandar Ekar Fasa 2, Zulhilmi Razali.
Mohamad yang juga penaung Persatuan Penduduk Taman Bandar Ekar Fasa 2 berkata pelbagai berita boleh dimuat naik oleh mana-mana pihak dalam media sosial pada masa ini kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan.
Bagaimanapun apabila RUU ini menjadi akta, mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya memuat naik apa sahaja berita sesuka hati atau memfitnah orang, memfitnah organisasi dan membuat berita-berita palsu kerana hukumannya amat berat sekali.
“Yang lebih penting lagi, tidak mudah lagi bagi pihak tertentu untuk mempengaruhi minda pengundi muda dengan pembohongan dan fitnah. Saya yakin anak-anak muda jika didedahkan dengan maklumat betul dan tepat, mereka akan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Mengenai majlis itu yang ramai disertai golongan muda, beliau berkata dengan adanya majlis seumpamanya golongan muda akan merasai semangat kebersamaan dengan masyarakat setempat dan ini akan membawa banyak manfaat kepada masyarakat itu sendiri.
Lebih 1,200 orang penduduk taman itu menyertai majlis tersebut yang bertujuan untuk merapatkan hubungan kejiranan. – BERNAMA