BERITA mengenai penunggang motosikal yang menjadi mangsa perbuatan individu tidak bertanggungjawab meletakkan seutas tali di laluan motosikal sebagai ‘perangkap’ bukanlah sesuatu yang baru berlaku di negara kita.
Tindakan individu yang tidak berperikemanusiaan itu nyata membahayakan pengguna jalan raya, malah boleh menyebabkan maut sekiranya penunggang motosikal ini tidak bernasib baik.
Terbaharu, seorang lelaki menerima 25 jahitan di bahagian dagu selepas terkena tali tangsi ketika sedang menunggang motosikal di Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn. Bhd. (SPRINT), Kuala Lumpur, semalam.
Mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan sedang dalam perjalanan menghantar makanan kepada melanggan berhampiran Glomac Damansara, Jalan Damansara kira-kira jam 5 petang.
Lapor BH Online, menerusi kenyataan daripada seorang sumber, mangsa terlanggar tali berkenaan yang merentang di tengah jalan raya menyebabkan kecederaan teruk di dagunya sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Ketika menunggang motosikal dari arah Persiaran Tropicana menghala ke Glomac Damansara melalui Lebuhraya SPRINT lelaki berkenaan terlanggar seutas tali tangsi sebaik tiba di lokasi.
“Tali berkenaan terkena pada dagu dan leher mangsa sebelum terpaksa menerima rawatan di PPUM. Mangsa menerima 25 jahitan pada bahagian luar luka,” katanya kepada akhbar tersebut.
Jelasnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada kewujudan tali tangsi berkenaan di jalan raya berkenaan merupakan perbuatan khianat atau sebaliknya.
Dalam pada itu, mangsa juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan yang telah menyebabkan kecederaan teruk pada bahagian mukanya.
Semalam, gambar penunggang motosikal berkenaan mengalami luka di bahagian dagunya tersebar di media sosial mendapat perhatian netizen.
Menerusi entri di laman Twiter oleh pengguna akaun @myzhrdn, dia berkongsi satu paparan skrin dari perbualan di aplikasi WhatsApp yang mengatakan bahawa terdapat kediaman penduduk di sebelah lebuh raya berkenaan.
Ini sekaligus menguatkan lagi andaian bahawa kejadian berkenaan sememangnya merupakan perbuatan khianat segelintir manusia tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mencederakan orang lain.
Informasi yang dikongsi melalui paparan skrin WhatsApp itu juga mendedahkan bahawa sekiranya tali berkenaan diletakkan hanya 5cm ke bawah, ianya akan terkena leher mangsa dan kemungkinan situasi yang lebih teruk boleh berlaku.
Di laman Facebook pula, para netizen yang menunggang motosikal turut menceritakan pernah hampir melalui pengalaman serupa.
Sebelum ini juga, pernah berlaku kejadian yang sama di mana penunggang motosikal cedera di leher selepas terlanggar dawai yang dipasang di laluan motosikal di sebuah lebuh raya.
Kejadian-kejadian sebegini menyebabkan ramai penunggang motosikal fobia dan menjadi punca mengapa ada segelintir dari mereka enggan menggunakan laluan motosikal yang disediakan.
Tidak tahulah apa yang berada dalam benak fikiran mereka yang melakukan perkara tidak mendatangkan faedah ini. Mungkinkah mereka berasa teruja dan berpuas hati dapat mencederakan pengguna lebuh raya?
Pihak berkuasa perlu mengambil langkah yang lebih drastik bagi menangani isu ini dengan meletakkan lebih banyak kamera pengawasan di kawasan laluan motosikal supaya tiada lagi kejadian seperti ini atau yang lebih buruk berlaku di masa hadapan. – MYNEWSHUB.CC/EZ