KUANTAN – Seorang penuntut Kolej Vokasional Kuantan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama 16 rakan sekolejnya di tapak perkelahan Kampung Pasir Kubor, Sungai Lembing di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, mangsa Muhammad Haziq Hamdi, 19, dihanyutkan arus deras yang datang secara tiba-tiba dan tidak sempat diselamatkan rakan-rakan serta pengunjung yang berhampiran sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.20 pagi dan segera mengerahkan sebuah jentera dengan lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang berasal dari Taman Balok Maju, Kuantan datang ke kawasan perkelahan ini bersama rakannya sejak 10 pagi sempena cuti hujung minggu.
“Bagaimanapun ketika sedang mandi, mangsa tidak menyedari kehadiran kepala air menyebabkan dia dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan bomba sukarela dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..