TANAH MERAH – Seorang anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) cedera di tangan dan kaki kiri selepas kenderaan yang dinaiki sepasukan empat anggota AKSEM dirempuh kereta suspek penyeludup daun ketum yang diekori mereka hari ini.
Bagaimanapun, suspek lelaki berusia 35 tahun berjaya ditahan pada pukul 2 petang ini di Kampung Nibong di sini selepas pasukan anggota AKSEM mengekori kenderaannya sejauh 50km dari Kampung Batu Melintang, Jeli.
Bercakap kepada pemberita di Pejabat AKSEM Bukit Bunga di sini, Komander AKSEM Kelantan Rusli Karim berkata anggota terbabit yang berusia 30 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
Katanya suspek disyaki terlibat menyeludup 200 kg daun ketum bernilai RM7,000 ke negeri ini.
Rusli berkata daun ketum tersebut dipercayai dibawa masuk dari sebuah negeri di utara Semenanjung untuk pasaran di Kelantan dan negara jiran. – BERNAMA