KUALA LUMPUR – Mengapa apabila ada bahaya tipu daya musuh Allah terhadap agama dan umat Islam, kita enggan mendengar peringatan para ulama?
Itu persoalan dibangkitkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ke atas penyokong Pakatan Harapan yang beragama Islam.
Menurut beliau, ulama adalah mereka yang sentiasa mengingatkan bahawa iblis adalah musuh kepada umat Islam.
“Orang yang ingatkan kita akan bahaya munafik adalah para ulama. Orang yang ingatkan kita akan bahaya nafsu dalam diri adalah para ulama.
“Orang ingatkan kita akan bahaya tipu daya dunia adalah para ulama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Nik Mohamad Abduh yang juga anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila ulama mengingatkan tipu daya musuh Islam mereka tidak percaya.
Lebih malang, kata beliau, tetiba umat Islam terbabit mendabik dada dan merasakan diri mereka lebih alim daripada golongan ulama.
“Atau sememangnya kita sudah terperangkap dalam tipu daya musuh agama itu,” soal beliau.
Golongan ulama PAS sebelum ini berulang kali mengingatkan tentang ancaman musuh Islam yang berselindung di sebalik Pakatan Harapan.
Peringatan PAS itu menyebabkan parti tersebut diserang dengan pelbagai dakyah dan fitnah oleh Pakatan Harapan. – MYNEWSHUB.CC