IPOH – Kerajaan negeri telah meluluskan 13,652 hektar tanah bagi dijadikan kawasan petempatan dan pertanian untuk Orang Asli di seluruh Perak dalam tempoh tiga tahun lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan dan kepentingan kaum berkenaan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Untuk makluman semua, Perak merupakan negeri pertama dalam Malaysia yang membuat pewartaan terhadap kawasan petempatan dan pertanian Orang Asli di Perak.
“Proses pewartaan ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan ia merupakan keperluan untuk mereka dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Pemimpin-pemimpin Masyarakat Orang Asli di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 159 daripada 176 tok batin di negeri ini serta bonus RM500 seorang seperti yang dibentangkan melalui Bajet Negeri Perak 2018.
Beliau berkata selain pewartaan tanah, kerajaan negeri juga sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan asas dan pembangunan infrastruktur di kebanyakan kawasan petempatan Orang Asli di Perak.
“Contoh paling dekat, kita telah bina sebuah sekolah berasrama penuh untuk Orang Asli di Sungai Siput, ini yang pertama dalam Malaysia. Kita juga telah bina jalan raya untuk memendekkan masa perjalanan daripada lapan jam kepada 40 minit ke Pos Kuala Mu. Ini membuktikan kita tak pernah abaikan mereka,” katanya.
Sementara itu, Wakil Batin-batin Perak, Sahar Husin berkata Orang Asli di negeri ini akan terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional Perak yang diketuai Zambry kerana telah banyak membawa perubahan khususnya dari sudut pembangunan dan kemajuan.
Katanya melalui perkara tersebut ramai dalam kalangan Orang Asli telah berjaya selain menjawat pelbagai jawatan penting sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
“Selain pembangunan infrastruktur dan modal insan, ramai dikalangan Orang Asli yang telah menjawat jawatan penting seperti doktor, jurutera, senator, arkitek dan sebagainya. Ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli dan kita akan terus memberi sokongan kepada kerajaan,” katanya.
Katanya walaupun populasi Orang Asli di Perak hanya berjumlah 60,446 orang, ia bukan satu halangan untuk bersama dalam memastikan pentadbiran sedia ada kekal selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) nanti. – BERNAMA