MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kesal dengan sikap dwistandard pihak pembangkang terhadap isu kajian semula persempadanan pilihan raya khususnya melibatkan kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menegaskan BN dan pembangkang sama-sama terkesan dengan kajian semula berkenaan dan pihak pembangkang perlu adil dalam melontarkan sebarang dakwaan.
Katanya isu tersebut tidak seharusnya dijadikan ‘modal’ oleh pihak pembangkang dalam ceramah mereka untuk memberitahu rakyat bahawa seolah-olah mereka menjadi mangsa kajian semula persempadanan pilihan raya tersebut.
āPersempadanan semula kawasan pilihan raya bukan perkara baharu… ia berlaku hampir 10 tahun sekali… takkan tiap kali persempadanan semula dilakukan dan BN menang, BN menipu? Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menipu?
“Bagaimana pula dengan kawasan yang mereka menang bila persempadanan semula dilakukan? Kalau mereka menang SPR tidak menipu, itu dwistandard namanya,ā katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Jualan Perumahan – Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera anjuran Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong bahawa kajian semula persempadanan pilihan raya baru-baru ini akan memberikan laluan kemenangan kepada BN di Parlimen Hang Tuah Jaya dalam ceramah Pakatan Harapan di Bukit Baru di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Idris berkata tujuan kajian semula berkenaan dilakukan bagi mengimbangi jumlah pengundi mengikut kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan ia perlu diterima secara rasional.
Beliau berkata isu itu diketengahkan dalam ceramah pihak pembangkang kerana mereka tidak mempunyai isu yang lebih baik untuk membela nasib rakyat di negeri ini.
Sementara itu, mengulas tentang dakwaan Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Melaka Adly Zahari berhubung pembangunan Kota Fesyen di Pusat Dagangan Antarabangsa di sini sebagai satu pembaziran, Idris berkata fakta yang dikemukakan pemimpin pembangkang berkenaan tidak berasas dan perlu diperbetulkan.
āSecara keseluruhannya banyak pembangunan dan kemajuan di Melaka berjaya menarik kedatangan ramai pelancong. Kota Fesyen pada zaman kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam merupakan satu tempat pameran pelbagai produk tempatan dalam tempoh masa tertentu,ā katanya. – BERNAMA