SEREMBAN – Persimpangan bertingkat Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)-Jalan Temiang, yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat, akan boleh digunakan orang ramai mulai pagi esok.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata persimpangan bertingkat yang dibina dengan kos RM55 juta itu dibiayai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menyumbang sebanyak RM48 juta dan selebihnya ditanggung syarikat swasta, Lapangan Kota Sdn Bhd sebanyak RM7 juta.
“Dengan adanya persimpangan bertingkat ini, penduduk setempat tidak perlu lagi keluar ke bandar Seremban untuk pergi ke Kajang atau Senawang, dan ia menjimatkan masa perjalanan kerana selain jauh, jalan di bandar Seremban juga selalunya sesak.
Persimpangan bertingkat ini merupakan projek yang memang menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha mempertingkat kemudahan dan infrastruktur rakyat setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abd Halim Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Kota Tan Sri Dr Gan Kong Seng.
Mohamad berkata Temiang akan menikmati pembangunan yang pesat susulan pembukaan persimpangan bertingkat yang merupakan pintu keluar dan masuk ke kawasan ini.
“Ini akan menjadi kawasan pembangunan yang baru dan kita jangka apabila semuanya telah siap termasuk infrastruktur dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini, sekurang-kurangnya penduduk di Temiang akan mencapai 100,000 orang,” katanya. – BERNAMA