KUCHING – Lewat tengah hari tadi apabila gelanggang pertembungan kerusi-kerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dimuktamadkan di Sarawak, pertembungan paling sengit pastinya terarah kepada kerusi Parlimen Stampin yang menyaksikan pertemuan antara Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian dengan Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen.
Semasa ditanya, kedua-dua calon menyuarakan keyakinan akan menang, dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, namun hakikat sebenarnya ia boleh saja berpihak kepada sesiapa sahaja antara kedua-dua tokoh ini.
DAP baru menduduki kerusi Stampin satu penggal selepas merampasnya dari tangan BN pada PRU13 lalu, namun calonnya kali ini adalah Anggota Parlimen Bandar Kuching selama tiga penggal, manakala bagi pakar kardiologi Dr Sim, ada sesuatu yang ingin dibuktikannya selepas imej SUPP tercalar pada PRU lepas yang menyaksikan daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi, ia hanya berupaya menduduki satu di Parlimen Serian.
Satu lagi kerusi Parlimen yang menjanjikan pertembungan sengit ialah di kerusi Parlimen Bandar Kuching yang ditinggalkan oleh Chong untuk ditandingi calon muka baharu Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP), yang akan ditentang oleh Kho Teck Wan (BN-SUPP) dalam pertembungan satu lawan satu.
PRU13 lalu menyaksikan DAP menduduki lima kerusi, yakni dua di sekitar bandar raya (Kuching dan Stampin), dan tiga lagi di bahagian tengah (Sibu, Lanang dan Sarikei), yang menjadi sasaran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk dirampas, selain satu di Miri yang dimiliki PKR.
Lain-lain pertembungan menarik membabitkan SUPP dilihat terarah kepada kerusi Parlimen Sibu yang menyaksikan BN mempertaruhkan anak kepada presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh, yakni Wong Kee Yew @ Andrew Wong, untuk bertanding atas tiket SUPP.
UPP merupakan parti serpihan SUPP yang ditubuhkan pada 2014, dan hubungan antara SUPP dengan parti “mesra BN” ini sering menjadi tumpuan ramai kerana UPP mempunyai pengaruh yang kuat di bahagian tengah Sarawak, namun ia tidak diterima sebagai komponen BN kerana penerimaannya memerlukan konsensus semua parti komponen.
Sarawak tidak banyak isu dalam soal pembahagian kerusi di kalangan komponen BN kerana pembahagian masih mengikut status quo yang menyaksikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) bertanding 14 kerusi Parlimen, manakala SUPP tujuh, Parti Rakyat Sarawak (PRS) enam dan Parti Demokratik Progresif (PDP) empat.
Di kem PBB, semua menteri Persekutuan yang terdiri daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), akan mempertahankan kawasan parlimen masing-masing.
Di kem SUPP, timbalan presidennya Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem yang merupakan Anggota Parlimen Serian selama enam penggal berturut-turut, akan mempertahankan kedudukannya pada PRU14 ini, manakala seorang lagi Menteri dari kem PRS, Datuk Joseph Entulu Belaun, tercicir selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden parti, enam hari sebelum hari pencalonan.
Ramai para pemerhati dan wartawan menanti kemungkinan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Selangau sebagai calon Bebas, namun apabila dimuktamadkan tengah hari tadi, kawasan itu akan menyaksikan pertembungan antara muka baharu Rita Sarimah anak Patrick Insol, yang merupakan kali pertama PRS menampilkan calon wanita, yang akan berdepan dengan cabaran hebat berentap dengan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.
Bagi satu lagi parti komponen BN Sarawak, Parti Progresif Demokratik (PDP), Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing jelas ceria apabila jumlah kerusi yang dipertanggungjawabkan kepada parti itu kekal empat.
Parti yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu juga sebelum ini mengalami kemelut sekitar tahun 2014 apabila krisis dalamannya membuatkan Presidennya ketika itu Tan Sri William Mawan Ikom bertindak keluar parti, dan menubuhkan parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).
William Mawan kemudiannya terpaksa bertanding sebagai calon “tidak berparti” pada pilihan raya negeri 2016 lalu sebagai prasyarat untuk bertanding atas tiket BN, dan beliau sebelum ini secara terbuka menyuarakan minat untuk kembali bertanding di Saratok pada PRU14, namun keputusan Abang Johari hari ini menyaksikan PDP kekal dengan empat kerusi.
Satu lagi perkembangan menarik adalah di Parlimen Julau, yang merupakan satu-satunya kawasan di mana komponen DAP, PKR dan Amanah tidak meletakkan calonnya, semata-mata untuk menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Datuk Joseph Salang Gandum, Anggota Parlimen kawasan itu selama tiga penggal, dengan calon bebas Larry Sng Wei Shien.
Kelompok pembangkang itu dikatakan tidak meletakkan calon mereka di kawasan berkenaan kerana melihat Larry Sng yang pernah menjadi ADUN Pelagus selama dua penggal atas tiket BN itu mempunyai kekuatan sendiri untuk menumbangkan Joseph Salang. – BERNAMA