SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor cuma mampu mencapai persetujuan berhubung pengagihan kerusi Dewan Negeri Selangor (DUN) yang akan ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 setakat ini.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun mendakwa kononnya persetujuan tentang kerusi DUN itu membuktikan perpaduan PH Selangor.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor namun tidak mengumumkan secara terperinci mengenai pengagihan kerusi DUN yang kononnya dipersetujui oleh gabungan empat anggota parti PH tersebut.
“PH Selangor telah capai kata sepakat memuktamadkan pengagihan kerusi DUN bagi memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik,” dakwanya dalam satu kenyataan media dihebahkan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.
Kenyataan itu didakwa dikeluarkan secara bersama Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua; Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Izham Hashim dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
Mohamed Azmin sebelum ini dikritik pemimpin PH sendiri kerana isu pembahagian kerusi DUN dan Parlimen Selangor antara DAP, PKR, PAN dan PPBM didakwa berhadapan dengan masalah besar.
Pemimpin PAN yang juga penyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Samad malah mendedahkan PH berdepan dua permasalahan dalaman yang menyukarkan isu pembahagian kerusi negeri itu dimuktamadkan.
Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PH Selangor bagaimanapun membidas dakwaan Khalid dan menafikan gabungan pembangkang itu berdepan masalah pembahagian kerusi di negeri ini. – MYNEWSHUB.CC