KUALA LUMPUR – Jaringan hatrik Patrick dos Santos Cruz berjaya membantu Pahang membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-0 secara agregat dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin malam ini, sekali gus mara ke separuh akhir saingan berkenaan.
Naib juara Piala FA 2017, Pahang membuka jaringan seawal minit kesembilan apabila rembatan penyerang import dari Brazil itu, gagal ditangkap penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.
Bermula babak kedua, skuad Tok Gajah yang juga merupakan juara dua kali (2006, 2014), menggandakan jaringan pada minit ke-58 apabila Patrick bijak meledak masuk bola hantaran M. Kogileswaran Raj ke dalam gawang pendahulu Liga Super itu.
Skuad Harimau Selatan yang juga merupakan juara edisi 2016, cuba mengurangkan defisit apabila jurulatih Raul Marcos Longhi Aizpun memasukkan Safiq Rahim pada minit ke-69, namun ia tidak mendatangkan hasil, malah Patrick melengkapkan hatrik pada minit ke-76, menyaksikan JDT tewas buat kali pertama di stadium keramat pasukan itu sejak 2015.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 6 April lalu.
Pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pula melakar kejutan dengan menewaskan pendahulu Liga Premier 2018, Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Walaupun keputusan agregat terikat 2-2 selepas Felda United meraih kemenangan 1-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang pada 7 April lepas, PKNP FC mara ke separuh akhir berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Pasukan pelawat berjaya memperoleh jaringan pertama pada minit ke-14 menerusi tandukan kaptennya, Muhd Shahrel Fikri Md Fauzi hasil sepakan percuma Mohamad Hafiz Ramadan.
Tersentap dengan jaringan itu, skuad ‘The Fighters’ bangkit menyamakan kedudukan melalui Wan Zack Haikal Wan Noor yang melakukan jaringan cantik menerusi sepakan percuma pada minit ke-25.
Muhd Shahrel muncul wira pasukan PKNP FC apabila menjaringkan gol kedua menerusi tandukan kencang selepas menerima hantaran Mohamad Ezanie Mat Salleh pada minit ke-42, sekali gus menyaksikan penampilan separuh akhir pertama Piala FA kepada PKNP FC.
Dua lagi aksi suku akhir kedua malam esok, melibatkan Selangor bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dengan skuad Gergasi Merah mempunyai kelebihan 3-0, manakala Perak akan berdepan PKNS FC di Stadium Perak, Ipoh. PKNS FC mencatat kemenangan 2-1 pada suku akhir pertama.
Perlawanan separuh akhir dijangka berlangsung pada 22 dan 23 Jun ini. – BERNAMA