PUTRAJAYA – Pakatan Harapan tidak menolak kemungkinan akan menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bernilai RM55 billion itu merupakan satu pembaziran.
“Kalau difikirkan secara logik, siapa mahu menghabiskan masa 14 jam dalam kereta api dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor berbanding kira-kira 30 minit dengan menggunakan penerbangan.
“Kita akan mengkaji semula projek ECRL sama ada perlu atau tidak. Jika tidak (diperlukan), henti setakat yang dah buat sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Bersama Tun M Siri2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda anjuran Akademi Siasah Anak Muda (Aksi Muda), di sini hari ini.
ECRL merupakan projek transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di wilayah Pantai Timur apabila siap pada 2024.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau ‘tidak boleh terima’ manifesto Pakatan Harapan yang mahu mansuhkan tol sekiranya menang PRU14 akan datang.
Mengakui ia adalah satu perbezaan pendapat dalam Pakatan Harapan, beliau berkata: “Saya ada pengalaman berkenaan tol, saya tidak boleh terima bahawa kita akan hapuskan tol.
“Kalau tiada tol kita tidak boleh maintain (selenggara), kita tak boleh luaskan jalan, kalau kita nak buat jalan baharu… syarikat swasta tidak akan buat kalau tak dapat pulangan,” katanya.
Berhubung pendidikan percuma, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan tidak bercadang untuk memberi pendidikan percuma sekiranya menang PRU14.
“Biasanya, benda yang ‘free’ (percuma) dianggap tiada harga… maka Pakatan Harapan akan menawarkan bilangan biasiswa pada semua peringkat pendidikan,” katanya. – BERNAMA