Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Lebih 37,600 Pekerja Diberhentikan...

PUTRAJAYA - Seramai 37,699 orang pekerja diberhentikan pada tahun lepas dengan 39.4 peratus...

Bayi Hidap Sindrom Rambut...

TAYLOR McGowan baru berusia tujuh bulan tapi dia memiliki rambut yang unik dan...

‘Trump’ Kini Di Muzium...

BERLIN - Muzium Lilin Madame Tussaunds di Berlon, Jerman kini telah menerima 'penghuni'...

Lelaki Ditahan Bantu Siasatan...

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun bagi membantu...

Projek PLBE Tukar Landskap Sosioekonomi Johor

SEGAMAT – Sejak pelaksanaan transformasi pengangkutan awam yang bermula 2010, kerajaan persekutuan terus bekerja keras untuk memberikan keselesaan kepada rakyat dengan mewujudkan sistem pengangkutan berkelas dunia.

Pelbagai projek untuk mentransformasikan pengangkutan awam terus dilaksanakan di Segamat yang pada suatu ketika dahulu terkenal dengan pusat pembalakan dan ladang pertanian khususnya ladang getah dan kelapa sawit, demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Rata-rata masyarakat yang ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru dekat sini menyifatkan perkhidmatan itu merupakan projek pengangkutan awam yang akan mengubah landskap sosioekonomi rakyat secara keseluruhannya.

Seorang pesara swasta, R. Lohanayagi, 79, dari Buloh Kasap, berkata dengan adanya PLBE dan stesen baharu yang lebih gah, sistem pengangkutan berkenaan akan memberikan suasana pengangkutan awam yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

Ibu kepada lima anak itu berkata penjanaan ekonomi yang lebih produktif juga akan mampu dirasai kesan daripada penjimatan masa perjalanan sekali gus menangkis kata-kata negatif mengenai pengangkutan awam negara yang tidak efisien.

“Saya merupakan seorang ibu tunggal dan pengangkutan awam merupakan kenderaan utama yang saya akan gunakan untuk ke pelbagai destinasi. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ini, bakal memendekkan masa perjalanan, menjimatkan kos pengangkutan dan mampu membawa penumpang lebih ramai dalam satu masa,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

PLBE dari Gemas ke Johor Bahru yang menghubungkan kawasan selatan Semenanjung Malaysia merupakan pelengkap kepada jaringan sistem Landasan Berkembar Elektrik sektor Ipoh ke Padang Besar, sektor Rawang ke Ipoh, sektor Lembah Klang dan sektor Seremban ke Gemas.

Antara stesen baharu yang akan dibina adalah di Bandar Segamat, Labis, Bekok, Paloh, Bandar Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru.

Sementara itu, Rosnah Aris, 38, berkata selain melicinkan perjalanan penumpang, PLBE dan stesen baharu berkenaan juga boleh menyumbang kepada persekitaran pengangkutan yang lebih baik.

“Perkhidmatan tren penumpang berkuasa elektrik ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan mempercepatkan perjalanan dan menjadi penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan tumpuan di daerah ini, malah boleh mengurangkan kadar kemalangan.


“Suatu ketika dahulu dari Segamat ke Kluang naik kereta api pun hampir tiga jam, akan datang nanti lagi cepat sampai. Bukan itu sahaja, kadar pencemaran udara juga boleh dikurangkan sekali gus memberi persekitaran lebih sihat kepada rakyat,” katanya yang bekerja sendiri dan berasal dari Felda Pemanis 1 di sini.

Seorang bekas mekanik, Loh Yee Khong, 70, berkata projek baharu ini membuktikan negara semakin membangun sehinggakan kerajaan terus menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.

“Apabila landasan baharu ini dibuka, rakyat ada pilihan sama ada mahu menaiki kenderaan sendiri atau menggunakan pengangkutan awam. Kalau guna tren yang canggih ini lebih senang, sekejap sahaja akan sampai ke destinasi dan dapat elak kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata dengan adanya pembinaan landasan dan stesen baharu itu akan memberi kesan ekonomi yang cukup memberangsangkan di Johor dan negara secara keseluruhannya.

“Ini sekali gus merancakkan dan memajukan industri logistik di negara ini. Kita yakin di bawah pimpinan perdana menteri, beliau berjaya melaksanakan agenda transformasi negara dan negara kita mencapai kemajuan kerana agenda transformasi negara kita berada di landasan yang kukuh.

“Kita juga dapat melihat ekonomi kita semakin baik dan semakin meningkat. Kita yakin bahawa ini semua akan memberi manfaat yang cukup baik bukan sahaja untuk masyarakat di negeri Johor bahkan untuk seluruh rakyat di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Kategori