KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di semua pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan terkawal tanpa sebarang insiden setakat pukul 9 pagi ini.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi pusat penamaan calon di seluruh negara juga mendapati semua penyokong parti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur ditutup dan dilencongkan, khasnya jalan-jalan yang terletak berhampiran pusat penamaan calon.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim sebelum ini berkata seramai 2,693 anggota polis ditempatkan di sekitar ibu kota dan Putrajaya bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon PRU4.
PDRM sebelum ini mengumumkan bahawa 79,000 anggota polis daripada pelbagai jabatan dan unit akan bertugas mengawal keselamatan dalam PRU14 ini. – BERNAMA