BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin dirasai apabila parti-parti politik mula menamakan calon pilihan masing-masing.
Walaupun penamaan calon secara rasminya diumumkan pada 28 April ini, satu nama yang agak kontroversi ini pastinya bakal mengejut ramai pihak.
Individu tersebut tidak lain tidak bukan adalah selebriti yang popular dengan mulut ‘laser’, Azwan Ali.
Lapor Harian Metro, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas menentang abangnya sendiri yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut selebriti itu, keputusannya untuk bertanding dibuat susulan sokongan banyak pihak terutama peminat setianya dalam memastikan perjuangan menjatuhkan Azmin menjadi kenyataan.
Malah, Azwan juga mendakwa akan bertanding di mana sahaja, kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Azmin.
“Saya berjuang atas prinsip dan perjuangan untuk menjahanamkan Azmin Ali. Ini adalah satu tugasan dan amanah yang mungkin orang lain tak mampu nak buat.
“Walaupun dikecam menjatuhkan darah daging sendiri, terpulanglah, kerana saya lebih mengenali pengkhianat bangsa ini,” katanya kepada portal berita berkenaan.
Azwan dikenali antara individu yang lantang mengecam Azmin, selain pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember tahun lalu.
Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.
Mengulas lanjut, Azwan juga tidak menolak menggunakan strategi bersifat peribadi bagi menewaskan Mohamed Azmin, dengan mendakwa beliau menyimpan banyak rahsia abangnya.
“Dia pemimpin yang penuh aib, paling munafik dan teruk dalam sejarah Selangor dan perlu dihapuskan kerjaya politiknya menjelang PRU14.
“Kalau orang masih mahu pangkah Azmin Ali, teruskanlah tetapi tunggulah bala besar daripada Allah,” katanya.
Azwan turut menjelaskan dia tidak bergantung dengan dana daripada mana-mana parti politik dan sepenuhnya menggunakan wang simpanan sendirinya.
“Saya bukan nak cakap besar, tapi duit saya berlambak dalam bank. Andainya tewas teruk sekali pun, wang pertaruhan itu saya anggap sebagai sedekah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan…