MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Idris ketika mengumumkan senarai calon BN Melaka dalam satu majlis di Ayer Keroh di sini hari ini turut mengumumkan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Emieyati Samsuddin juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dicalon semula untuk Parlimen Hang Tuah Jaya, yang sebelum kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya adalah Parlimen Bukit Katil, dan pada PRU lepas beliau tewas dengan majoriti 5,447 undi di kawasan itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bertukar kerusi daripada Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput, manakala tempatnya akan digantikan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Datuk Zali Mat Yasin.
Pengerusi MCA Melaka, Lim Ban Hong pula akan mempertahankan DUN Klebang, manakala bekas Pengerusi MIC Melaka, Datuk M.S Mahadevan tidak disenarai dan tempatnya di DUN Gadek digantikan Setiausaha MIC Melaka, Datuk P. Panirchelvam.
Melaka mempunyai 28 kawasan DUN serta enam kawasan Parlimen yang ditandingi keseluruhannya oleh BN pada PRU14 dan pada PRU13, BN menguasai 21 kawasan DUN dan empat kawasan Parlimen.
Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan Ketua MCA Bahagian Bukit Katil, Datuk Koh Nai Kwang akan bertukar kerusi daripada Parlimen Alor Gajah ke DUN Machap Baru, tempatnya di Parlimen itu akan digantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee.
Wong adalah calon penampilan semula dan pada PRU11 sebelum ini menewaskan calon DAP, Kerk Kim Hock untuk kerusi Kota Melaka, namun Wong tewas kepada calon DAP, Sim Tong Him pada PRU12.
Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ahmad Hamzah akan mempertahankan Parlimen Jasin buat penggal ketiga, manakala Parlimen Kota Melaka akan ditandingi Pengerusi Biro Profesional Muda dan Pelajar Pemuda MCA, Choo Wei Sern yang merupakan calon muka baharu.
Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Chua Lian Chye dicalon semula untuk bertanding di DUN Pengkalan Batu yang sebelum kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya adalah DUN Bachang, manakala calon MCA, Datuk Ng Choon Koon akan bertukar kerusi daripada DUN Bemban ke DUN Kesidang. – BERNAMA