KUALA LUMPUR – Manifesto MIC bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khusus untuk mentransformasikan masyarakat India di negara ini diperakui amat realistik dan mampu dilaksanakan secara berkesan dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Naib presidennya, Datuk T. Mohan yakin segala tawaran dan inisiatif dalam manifesto itu menjadi pelengkap kepada manifesto induk Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 7 April lalu.
Aku janji dalam manifesto itu mampu dicapai sepenuhnya sejajar dengan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), katanya kepada pemberita selepas pelancaran manifesto tersebut oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramanian, di sini hari ini.
Manifesto MIC, julung kali dilancarkan untuk pilihan raya umum, menggariskan empat tonggak utama dengan 22 inisiatif yang holistik mencakupi semua aspek kehidupan masyarakat India.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata manifesto pertama khusus untuk kaum India itu menumpukan kepada usaha-usaha membasmi kemiskinan dengan mengkaji isu-isu teras yang dihadapi oleh komuniti itu.
“Sebelum ini, aku janji untuk kaum India adalah secara umum di bawah Manifesto Barisan Nasional (BN) tetapi kali ini, pendekatannya adalah secara holistik yang menumpukan kepada perkara penting bagi masyarakat India antara lain, meningkatkan sosioekonomi,” katanya.
Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah dan timbalan menteri belia dan sukan, berharap usaha yang digariskan dalam manifesto itu dapat membuahkan hasil dan mentransformasikan kehidupan masyarakat kaum India di negara ini.
Dalam pada itu, bekas Ketua Puteri MIC dan kini Ketua Wanita MIC Bahagian Titiwangsa, J. Usha Nandhini, berkata melalui manifesto itu, parti itu telah mengambil kiri semua masalah yang yang dihadapi oleh golongan isu rumah berpendapatan rendah (B40).
“Saya yakin manifesto ini benar-benar melihat masalah sebenar masyarakat India dan ia akan memberi manfaat secara menyeluruh kepada komuniti itu,” katanya. – BERNAMA