PUTRAJAYA – Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti rasuah dan salah guna kuasa sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Selain SPR, pasukan itu akan turut dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, katanya.
Beliau berkata memandangkan kuasa berkaitan perbuatan rasuah lebih menjurus kepada SPRM, setiap salah laku yang dilaporkan kepada SPR akan dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Setiap pejabat pilihan raya negeri akan membuat penyelarasan dengan semua pejabat SPRM di negeri-negeri bagi memastikan setiap penyelarasan dan persediaan dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran bilik gerakan PRU14 SPRM, di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Mohd Hashim berkata mereka yang didapati terlibat dengan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa yang tertakluk di bawah Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) boleh dikenakan tindakan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Katanya kesalahan itu juga secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon dan pilihan raya kecil perlu diadakan.
“Dalam masa sama, mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan tersebut,” katanya.
Mohd Hashim berkata bagi memantau kempen PRU14 bermula dari hari penamaan calon hingga pengisytiharan keputusan pilihan raya, SPR akan turut mewujudkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
Katanya setiap PP-KPR akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan khususnya dari segi bahan-bahan kempen, poster, ceramah, syarahan dan aktiviti kempen lain termasuklah aktiviti kempen yang berunsurkan rasuah politik. – BERNAMA