LUMUT – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang reaksi negatif terhadap sebarang spekulasi yang ditimbulkan terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Zambry berkata pelbagai spekulasi dan pandangan ditimbulkan terutama melalui aplikasi WhatsApp dan beliau sendiri turut menerima mesej-mesej tersebut yang sebahagiannya menyebarkan maklumat yang tidak tepat.
“Menarik pula apabila mesej itu dapat disambungkan kepada saya, tetapi bagus begitu yang mana benda tidak betul saya boleh minta diperbetulkan maklumatnya.
“Musim raya (PRU), macam-macam cerita dan sebagai contoh dahulu (terdapat) cerita yang kita kononnya membenarkan pengambilan pasir di Segari walhal itu keputusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membuka muara untuk mengalirkan air dan isu itu dijadikan isu besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Parlimen Lumut di sini hari ini.
Sementara itu, Zambry berkata yang terbaru, beliau turut dimaklumkan mengenai penularan mesej di aplikasi WhatsApp sejak semalam mengatakan beliau telah mengurangkan beberapa hektar hutan simpan kekal di Perak.
“Bila tunjukkan itu (mesej) orang akan percaya dan ramai yang hantar (mesej) pada saya dan bertanyakan apa yang telah saya lakukan.
“Walhal, Perak merupakan antara negeri yang tertinggi mengekalkan hutan simpan di Semenanjung Malaysia, tiada di negeri lain, dan sejak saya menjadi Menteri Besar ini, lebih 24.2 hektar saya telah tambah lagi supaya dikekalkan sebagai hutan simpan kekal,” katanya.
Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan bantuan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk lima cawangan persatuan veteran tentera dan polis di Manjung. – BERNAMA