KANGAR – Budaya berpindah kerusi yang diamalkan pembangkang adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azlan Man.
Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata calon-calon pembangkang itu adalah umpama ‘pacat’ yang kekenyangan.
“Mereka pindah satu hal, tidak tunai tanggungjawab dan janji pada rakyat satu hal lagi. Oleh itu, pengundi harus bijaksana menilai serta membuat pertimbangan wajar ketika memilih calon dan parti.
“Rakyat harus sedar tugas wakil rakyat ini bukan sekadar kerjaya tetapi kesanggupan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan elaun kepada 784 pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Perlis bagi April di Dewan Warisan di sini, malam tadi.
Katanya setiap kali merasa goyah dan hilang keyakinan untuk menang, pemimpin pembangkang cenderung untuk berpindah kerusi, tanpa memikirkan nasib pengundi yang pernah mengundinya pada pilihan raya umum lepas.
Beliau berkata sikap sebegitu menunjukkan mereka tidak ikhlas untuk berkhidmat serta menyerahkan bulat-bulat kepada kerajaan yang memerintah dalam menyelesaikan masalah rakyat. – BERNAMA