KOTA BHARU – Cintanya pada negara akan terus dipertahankan hingga ke hujung nyawa, kata seorang warga emas, Abdullah Yusof, 91, yang bakal mengundi untuk kali ke-14 pada pilihan raya umum pada 9 Mei nanti.
Walaupun kesihatannya agak merosot sejak menjalani pembedahan akibat masalah usus tahun lalu, ia tidak akan menghalang beliau keluar mengundi pada tarikh itu.
“Akibat pembedahan itu saya tidak dapat berjalan seperti biasa lagi dan terpaksa menggunakan tongkat. Namun saya tetap akan menunaikan tanggungjawab saya kepada negara seperti biasa tahun ini walaupun terpaksa berkerusi roda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telipot di sini, hari ini.
Bekas pesara polis itu berkata semangat untuk melihat Malaysia terus berdaulat dan makmur sentiasa berkobar dan beliau tidak pernah alpa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi selagi hayat dikandung badan.
Beliau berkata tiada alasan untuk generasi muda yang sihat bertenaga untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab besar itu.
“Generasi hari ini perlu mempunyai kesedaran kerana kitalah yang menentukan pentadbiran negara dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya. Gunalah peluang ini sebaik mungkin,” katanya.
Abdullah berkata pelbagai pengalaman dilaluinya dalam meniti sejarah pengundian termasuk pernah turut berkempen bersama beberapa pemimpin negara.
Baginya kedamaian yang dikecapi hari ini bukan sesuatu yang boleh dimiliki dalam sekelip mata sebaliknya menuntut pengorbanan menerusi kegigihan tokoh dan pemimpin terdahulu.
Justeru itu katanya sehingga hari ini beliau masih terus mengikuti perkembangan politik negara walaupun terpaksa mendapatkan bantuan isterinya untuk membacakan berita semasa di akhbar berikutan penglihatannya yang telah kabur.
Sejak lapan tahun lalu, isterinya Salma Abdullah, 76, tidak pernah jemu membacakan akhbar yang dilanggannya setiap hari kerana beliau tidak mahu ketinggalan dalam arus zaman.
Menelusuri rentetan sejarah pengundian negara, katanya, banyak pembaharuan yang lebih sistematik telah dilaksanakan kerajaan termasuk dakwat celup jari dan semakan undian secara dalam talian.
Namun bagi bapa kepada lima anak itu semangat untuk mengundi tetap sama saban tahun seperti mana kali pertama beliau menunaikan tanggungjawab tersebut. – BERNAMA