KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membidas dakwaan beliau gagal melaksanakan tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 2009 hingga 2012.
Beliau berkata dakwaan yang dilemparkan oleh calon PKR bagi Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mempersoalkan sumbangannya adalah tidak berasas.
“Dia tidak tahu apa sejarah Kuala Lumpur dan tidak tahu apa yang saya sudah laksanakan khususnya di kawasan Lembah pantai.
“Saya boleh senaraikan satu persatu inisitif yang sudah dilaksanakan, sampai orang menggelarkan saya Menteri Lembah Pantai. Jadi apa cerita kata saya tidak buat apa-apa di sini?” katanya kepada pemberita ketika sesi lawatan bersama Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin di Taman Lucky, Bangsar, di sini hari ini.
Terdahulu, hari ini dalam satu sidang media, Ahmad Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR antara lain mendakwa, tindakan Raja Nong Chik tidak mewartakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 telah menyebabkan berlaku banyak isu pembangunan di bandar raya itu.
Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang dilancarkan pada Mei 2008 dan dijadual untuk diwartakan pada 1 Julai 2012, telah ditangguhkan bagi menambah baik pelan pembangunan itu susulan pembangunan dan perubahan ekonomi pesat di luar jangkaan kebelakangan ini.
Raja Nong Chik dicalonkan semula bertanding di Parlimen itu selepas tewas kepada penyandang, Nurul Izzah Anwar (PKR) dengan majoriti tipis 1,847 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pada PRU14 , Parlimen Lembah Pantai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, Raja Nong Chik menentang Ahmad Fahmi (PKR) dan calon PAS, Fauzi Abu Bakar. – BERNAMA