KUALA KRAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat akan menolak ‘janji’ Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tentu sekali dengan ‘aku janji’ itu maka seluruh rakyat pantai timur akan menolak cadangan beliau. Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih atas cadangan itu.
“Tentulah Dr. Mahathir telah membuat keputusan tepat untuk menolak sokongan rakyat di pantai timur terhadap partinya,” katanya secara sinis pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini hari ini.
Naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata cadangan untuk menghentikan ECRL oleh pakatan pembangkang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
Dalam satu program di Putrajaya pada Ahad, Dr. Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan dilaporkan tidak menolak kemungkinan pakatan itu akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menyifatkannya satu pembaziran.
Mengenai seorang ketua UMNO bahagian yang ditahan kerana positif dadah di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
“Walaupun kita tak boleh menghukum mana-mana individu sebelum diputuskan oleh mahkamah tapi dari segi moral dan politik ia agak mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku,” katanya.
“Kita akan bawa kepada mesyuarat dan tindakan (disiplin) akan dikenakan mengikut perlembagaan UMNO,” tambahnya. – BERNAMA