REMBAU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ramai pihak cemburu dengan kejayaan yang dilakar parti itu dalam membangunkan serta mengekalkan keamanan negara.
Beliau yang juga menteri besar berkata meskipun Malaysia sebuah negara yang kecil, namun ia dapat dibangunkan dengan sempurna hasil perjuangan BN serta persefahaman yang baik dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Jangan sesekali mendengar kata orang luar yang hanya cemburu dengan keamanan yang dikecapi dan hanya mahu timbulkan perbalahan sesama kaum. Banyak orang yang cemburu, negara luar pun cemburu dengan Malaysia kerana mereka melihat negara yang tak berapa besar ini tetap dapat dibangunkan dengan sempurna.
Sepanjang 61 tahun negara ini ditadbir oleh BN, Malaysia yang bukan dianggap negara kaya ini tetap dapat diurus dengan begitu baik. Resepi besar negara ini dapat ditadbir dengan baik adalah kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini duduk sebagai satu keluarga yang bersama-sama memainkan peranan untuk membina negara ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Linsum, Rantau, di sini yang turut dihadiri Pengarah Operasi Pilihan Raya Parlimen Rembau Azman Hasan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai Datuk Abdul Halim Abdul Latif.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sembilan dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau berkata adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat termasuk BN untuk memastikan apa yang dinikmati mereka pada hari ini akan terus dapat dikekalkan.
“BN mesti bekerja lebih kuat lagi kerana ini adalah tanggungjawab kita untuk menyediakan sebuah negara yang lebih baik untuk masa depan anak-anak dan cucu kita bagi generasi yang akan datang.
Inilah tanggungjawab yang perlu kita pikul bersama dan rahsianya untuk membina negara yang aman adalah melalui perpaduan yang telah wujud setelah sekian lama. Jadi kita perlu dikekalkan,” katanya. – BERNAMA