PORT DICKSON – Pelancaran Rangka Tindakan Perumahan Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi peluang kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran untuk memiliki rumah yang selesa dengan harga lebih murah daripada pasaran.
Mejar Haslen Haron, 42, dari Markas Pemerintahan Operasi Udara MINDEF berkata rumah yang ditawarkan di bawah rangka tindakan ini sangat berbaloi kerana harga yang berpatutan selain terletak di lokasi tumpuan seperti Lembah Klang.
“Pada hari ini pasaran perumahan harga amat tinggi dan boleh dikatakan tidak ramai di kalangan anggota tentera mampu untuk memiliki rumah yang ada di Lembah Klang.
“Dengan adanya Rangka Tindakan Perumahan ini, ia dapat memberi peluang kepada anggota tentera memiliki sekurang-kurangnya satu rumah bagi satu keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Pelancaran Rangka Tindakan Perumahan MINDEF oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Haslen yang sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak berusia 11 hingga 18 tahun, berkata dia turut mengambil peluang untuk membeli rumah yang ditawarkan di bawah rangka tindakan ini.
“Saya turut mengambil manfaat ini dan saya dah daftar untuk membeli sebuah rumah di Bukit Jalil dengan harga RM290,000 dan harga yang ditawarkan sangat berpatutan, berbanding harga pasaran RM400,000 untuk rumah di kawasan itu,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan Adnan Ahmad, 67, berkata Rangka Tindakan Perumahan ini memang sentiasa dinantikan oleh veteran ATM.
“Ramai veteran khususnya yang tidak berpencen yang belum mempunyai rumah lagi dan kebanyakannya mereka yang pencen di awal tahun 1990-an.
“Bagi anggota yang sedang berkhidmat, mereka sangat bertuah dan saya harap limpahan itu akan mengenai veteran yang belum memiliki rumah,” katanya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata warga ATM sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana melancarkan Rangka Tindakan Perumahan ini.
“Kita pasti sedar bahawa pengorbanan dan perjuangan yang kita abadikan tidak kita pinta balasan, ia adalah amanah yang terpikul di bahu dan ia adalah sumpah janji yang mesti kita lunaskan.
“Demi maruah dan daulat negara kita berkorban, kerana kita tahu kebajikan kita dijaga dan ia bukan pengorbanan yang sia-sia,” katanya. – BERNAMA