PUTRAJAYA – Seorang wanita yang mendakwa dilahirkan sebagai anak tak sah taraf kepada bapa beragama Islam dan ibu beragama Buddha, kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengisytiharkan dirinya bukan beragama Islam.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman menolak rayuan Rosliza Ibrahim.
Rosliza merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jun 2017 yang menolak saman pemulanya untuk memohon perisytiharan bahawa dia beragama Buddha dan bukan beragama Islam.
Hakim Umi Kalthum yang mempengerusikan panel itu berkata tiada kekhilafan boleh dirayu dalam keputusan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi itu dan mahkamah rayuan mengesahkan keputusan itu.
Rosliza, 36, memfailkan saman pemula pada 2015 memohon perisytiharan bahawa dia seorang anak tak sah taraf yang dilahirkan ibu beragama Buddha, bahawa dia bukanlah beragama Islam dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa terhadapnya.
​​​​​​​Wanita itu mendakwa dia dibesarkan sebagai penganut Buddha oleh ibunya, dan dia terus menganut agama Buddha sehingga hari ini.
Rosliza menamakan Kerajaan Selangor sebagai responden dalam saman pemula itu dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dibenarkan sebagai pencelah.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi menegaskan Rosliza dilahirkan sebagai seorang beragama Islam dan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan bagi mengisytiharkan dia bukan lagi beragama Islam.
Dalam prosiding hari ini, peguam Aston Paiva yang mewakili Rosliza berhujah, anak guamnya dikatakan lahir sebagai seorang Islam berdasarkan andaian terdapat pernikahan yang sah antara ibu bapanya dan ibunya pula telah memeluk Islam, bagaimanapun tiada sebarang rekod berkaitan pernikahan mereka itu.
​​​​​​​Beliau berkata Mahkamah Syariah hanya boleh membuat perisytiharan apabila seseorang itu bukan lagi beragama Islam, tetapi mahkamah itu tidak boleh mengeluarkan perintah bahawa seseorang itu bukan beragama Islam.
​​​​​​​Penasihat Undang-undang Negeri Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman pula berhujah Rosliza dianggap beragama Islam berdasarkan kad pengenalannya dan cara terbaik baginya untuk mengisytiharkan dirinya bukan lagi beragama Islam adalah melalui Mahkamah Syariah.
Sepasukan peguam yang diketuai Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili MAIS. – BERNAMA