KUALA LUMPUR – Menteri atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan yang akan dikenakan terhadap pihak yang disabitkan kesalahan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018.
Sebaliknya, segala hukuman dan tindakan yang disabitkan mengikut akta itu akan ditentukan mahkamah dan bebas daripada ‘pendakwaan berpilih’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tegas Azalina lagi, RUU itu juga bukan ‘akta drakonian’ atau kejam kerana ia bermatlamat melindungi orang awam daripada menjadi mangsa penyebaran berita tidak benar dan pada masa sama menjamin kebebasan bersuara.
“Ini bukan undang-undang yang mana pemerintah, kerajaan atau menteri yang membuat keputusan. Undang-undang ini diwujudkan supaya mana-mana pihak yang menjadi mangsa kesalahan berita palsu, boleh pergi ke mahkamah memohon ‘interim order’ (perintah mahkamah).
“Ia bagi membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah supaya berita itu diturunkan (tidak disiarkan),” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU itu diluluskan dengan pindaan menerusi proses undi belah bahagi apabila G Manivannan (DAP-Kapar) meminta usul undi belah bahagi dilakukan.
Keputusan undian itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan 123 Ahli Parlimen menyokong manakala 64 lagi tidak menyokong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berada dalam dewan ketika proses undi belah bahagi dijalankan.
Azalina mengambil masa lebih dua jam untuk menggulung perbahasan itu yang berlangsung pada Khamis lalu dan disambung hari ini. Seramai 48 Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.
Pindaan itu adalah menggantikan perkataan ‘mengetahui’ pada Fasal 4 kepada ‘dengan berniat jahat’ dan pengurangan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun pada Fasal 5.
Azalina turut menyangkal dakwaan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa RUU itu diperkenalkan kerajaan secara tergesa-gesa dan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Jika bukan sekarang, bila lagi? Selagi ia dikanunkan, diurus dan dikuatkuasakan dengan adil dan berkesan, ia perlu dilaksanakan segera.
“Kita kena sedar penyebaran berita tidak benar adalah masalah global yang perlu ditangani dengan segera seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi yang semakin pantas dan kompleks,” katanya. –Â BH Online