FENOMENA yang dilalui telefilem Pok Ya Cong Codei menyaksikan orang ramai mula menumpang populariti dengan menggunakan nama watak itu dalam melariskan perniagaan mereka.
Justeru, pelakon dan pengarah, Sabri Yunus yang bertanggungjawab menerbitkan telefilem berkenaan mendedahkan bahawa dia sudah mendapatkan Hak Paten terhadap nama ‘Pok Ya Cong Codei’ sejak sebulan yang lalu.
Jelas Sabri, dia mengambil tindakan itu bagi melindungi dan mengelakkan nama itu daripada disalah guna oleh pihak yang tidak sepatutnya selepas mendapatkan nasihat dari rakan peguam.
Penggunaan meluas nama itu oleh beberapa pihak termasuk sebuah syarikat besar bagi mengaut keuntungan telah menyebabkan Sabri terpaksa bertindak sedemikian.
“Sebaik watak dan telefilem Pok Ya Cong Codei diperkatakan ramai serta tular, saya dimaklumkan banyak pihak yang ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu.
“Kalau bisnes kecil dan sekadar menjual topi atau baju-T, saya anggap berkongsi rezeki kerana mereka juga membantu promosi. Tetapi, ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.
“Peguam yang saya kenali menasihatkan saya supaya memohon Hak Paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan,” katanya memetik laporan BH Online.
Sabri ditemui pemberita pada sidang media selepas pelantikannya sebagai duta Umrah Cong Codei bersama Pok Ya, di ibu negara, siang tadi.
Januari lalu, telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi bualan ramai serta tular di media sosial gara-gara watak utama telefilem itu yang menyebut nama Hotel Concorde sebagai Cong Codei sehingga menjadi ikutan penonton.
Selain Sabri yang membawa watak samseng kampung bernama Pok Ya, telefilem berkenaan turut dibintangi Mustapha kamal, Uqasha Senrose, Fikry Ibrahim dan Mazlan Sulaiman.
Dalam pada itu, impak yang ditampilkan telefilem berkenaan melalui sebutan nama hotel yang lucu dan menjadi bualan di media sosial itu telah menarik minat Richworld Travel & Tours bagi memperkenalkan pakej Umrah Cong Codei.
Pakej tersebut dilengkapi dengan perjalanan mengerjakan umrah beserta ziarah dan akan menginap di Hotel Concorde Makkah dan Madinah.
Mengulas mengenai undangan yang diterimanya itu, Sabri menyifatkan pakej umrah yang lengkap dengan program khatam Al-Quran serta majlis tahlil telah menyebabkan hatinya terbuka untuk menjalin kerjasama.
“Sebagai penggiat industri kreatif, selama ini saya tidak terfikir soal bisnes. Sejak Pok Ya tular, ramai yang mengajukan tawaran kepada saya untuk menjadi duta produk.
“Namun, saya tergerak hati untuk bersama Richworld Travel disebabkan mereka menonjolkan Pok Ya, bukan Sabri Yunus,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ