PELAKON Janna Nick memberitahu bahawa tindakannya berbalas komen berbaur romantis dengan penyanyi, Sufian Suhaimi di laman Instagram hanyalah satu gurauan sahaja.
Janna berkata, dia sememangnya sudah lama mengenali Sufian dan disebabkan itu dirinya mempunyai keberanian untuk meninggalkan komen demikian.
“Sebenarnya saya dah kenal Sufian sejak dua tahun lalu dan ayat romantik itu hanyalah gurauan, bukan betul-betul pun.
“Memandangkan nama Sufian sedang hangat diperkatakan mengenai isu peribadi (putus tunang), jadi orang mula kaitkan dengan komen saya itu,” kata Janna dipetik Mstar Online.
Ekoran hal itu, Janna mengakui dihujani pelbagai komen dan reaksi daripada peminat yang berharap dia menjalinkan cinta dengan Sufian.
Malahan, tidak kurang juga yang meluahkan rasa hairan apabila timbul gosip tersebut memandangkan kebanyakan peminat sudah mengetahui karakter dirinya yang suka mengusik teman artis.
“Saya akui kerana komen itu ada peminat yang harap kami bercinta. Tapi kalau nak tahu, yang berasa pelik pun ramai sebab mereka tahu saya memang suka menyakat rakan-rakan artis.
“Tapi kalau kawan lelaki itu sudah berpunya saya tak akan komen macam itu, kita kena hormat hubungan dan perasaan pasangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Janna berharap orang ramai tidak salah faham mengenai apa yang terjadi memandangkan ia hanyalah sekadar gurauan.
“Saya hanya menulis tajuk lagu terbarunya berjudul Di Matamu, lagu tu pun sekarang tengah trending. Jadi jangan salah faham, kami gurau-gurau sahaja,” ujarnya. –MYNEWSHUB.CC/AM