SHAH ALAM – Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard mengumumkan pihaknya telah membentuk beberapa pasukan khas.
Ia diwujudkan untuk memastikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kartelnya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Chegubard yang disingkirkan daripada PKR kerana mendakwa tokoh itu terlibat dengan penyelewengan beberapa tahun lalu turut mengumumkan akan menganjurkan kempen Siri Risalah Kompilasi Jenayah Kartel Azmin Ali.
“Segala bukti jenayah baru dan lama akan diterbitkan dalam bentuk mudah difahami. Dalam kemampuan kewangan yang sangat terhad, maka risalah akan diterbitkan dalam bentuk PDF dan disebarkan dalam perbagai bentuk termasuk media sosial.
“Semua risalah akan diletakkan di http://kartelAzmin.blogspot.com. Tidak ada hak cipta dan menjemput mana–mana pihak untuk mencetak dan terus menyebar luaskan semua risalah dalam blog tersebut.
“Tanpa berselindung risalah menyebut nama, menyiarkan dokumen dan gambar. Semua yang terlibat dijemput untuk ambil tindakan undang–undang jika merasakan dia difitnah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Chegubard menegaskan, beliau menyasarkan Mohamed Azmin dan kartel jahatnya yang gagal menjawab semua fakta yang beliau bentangkan tetang korupsi mereka dan berlindung di sebalik Akta Hasutan.
Ini kerana perjuangan rakyat yang suci tidak akan berjaya dengan adanya lanun perompak berlindung sebalik slogan perjuangan. – MYNEWSHUB.CC