BARU-BARU ini tular kisah seorang bayi berusia 16 hari dilarikan seekor monyet ketika sedang tidur di rumahnya, namun akhirnya dia ditemui telah meninggal dunia di dalam sebuah perigi.
Kejadian yang berlaku di Banki, Odisha, Bhubaneswar, India itu dapat dihidu apabila pihak berkuasa negara itu melancarkan operasi besar-besaran mencari bayi malang sejurus kehilangannya pada Sabtu lalu  namun tidak membuahkan hasil.
Jasad bayi itu kemudian ditemui sendiri oleh ahli keluarganya di dalam sebuah perigi berkedalaman 5 meter keesokan harinya.
Mereka kemudiannya meminta bantuan daripada penduduk kampung yang lain untuk mengeluarkan bayi itu yang sudah kembung akibat lemas dan dipercayai telah ditinggalkan sejak 24 jam sebelum ditemui.
Lebih mengharukan, sekeping gambar yang tersebar melihatkan bapa kepada bayi tersebut, Ramakrushna Nayak yang meniarap di atas jalan meronta selepas menerima berita bahawa anaknya telah meninggal dunia.
Menurut pihak berkuasa dari balai polis Banki, Biswaranjan Sahoo, bayi berkenaan berkemungkinan di campak ke dalam perigi oleh monyet tersebut sejurus melarikannya.
“Ini merupakan kes pertama sebegini yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tujuan post-mortem,” katanya seperti yang dilaporkan Hindustan Times.
Tambahnya, pihak berkuasa ketika ini masih menjalankan siasatan dan mengambil kira semua kebarangkalian yang menjadi punca kepada kematian bayi tersebut.
Pada kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, bayi berkenaan sedang nyenyak tidur di dalam kelambu dalam pengawasan ibunya sebelum secara tiba-tiba dilarikan monyet terbabit.
Selepas terlihat monyet berkenaan membawa lari bayi itu, dia kemudiannya meminta pertolongan penduduk kampung untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, anggota daripada Jabatan Perhutanan telah melakukan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran bagi mengesan bayi itu.
Bagaimanapun, usaha mereka terbantut kerana bayi berkenaan mempunyai masalah mengeluarkan suara sejak dilahirkan secara pra-matang dan dirawat di wad pediatrik hospital berdekatan.
Malah, lebih menyedihkan, bayi itu baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah dan sempat menetap di rumahnya selama tiga hari sebelum insiden dilarikan monyet itu terjadi.
“Seramai 30 orang dalam pasukan anggota perhutanan terlibat dalam mengesan monyet dan bayi berkenaan.
“Namun, apa yang sedikit menyulitkan pencarian kami adalah kurangnya tangisan dari bayi tersebut. Ini menyukarkan kami mengesan lokasi sebenar bayi tersebut,” kata seorang pegawai perhutanan, Sangram Keshari Mohanty.
Penduduk kampung berkenaan mendakwa bahawa kawasan itu telah dicemari dengan kehadiran monyet liar baru-baru ini dan insiden ini telah menyebabkan seorang penduduk kawasan tersebut kehilangan nyawa.
Kawasan Banki yang terkenal dengan industri pertanian sayuran hijau segar kini terancam akibat kehadiran monyet-monyet liar yang berkeliaran di kawasan itu. MYNEWSHUB.CC/EZ