BUKAN susah pun kalau nak dikenali ramai sekarang ini, buat sahaja video pelik yang mendatangkan kecaman netizen, dalam sekelip mata sahaja anda boleh menjadi ‘selebriti’.
Baru sahaja hendak reda fenomena video si ‘awek cendol’ yang tular di seluruh media sosial hingga membawa ke program terbitan Astro, Motif Viral, kini muncul satu lagi rakaman yang dilihat netizen sebagai penyambung legasi si gadis cendol.
Dalam satu rakaman video berdurasi 38 saat yang tersebar di laman sosial pada Isnin lalu, gelagat seorang gadis yang merengek manja mencari gincu kegemarannya yang hilang mencetuskan reaksi pelbagai dari netizen.
Gadis yang memakai baju hitam dengan hashtag #kakymotor itu menyeluk beg bewarna merah jambu miliknya bagi mencari gincu berkenaan, namun gagal menemuinya.
“Haaa… lipstick tu, nak lipstick tu jugak. Mana nak cari? Haaaa..,” rengek gadis itu ketika teman lelakinya mencadangkan untuk mencari gincu itu kemudian.
Gelagatnya dalam video itu menyebabkan netizen memberikan nama samaran ‘awek lipstick’ kepada gadis manja itu seolah watak baru yang menggantikan ‘awek cendol’ yang viral sebelum ini.
Belum pun habis netizen netizen mengecam mereka, hari ini tular satu lagi rakaman ‘awek lipstick’ apabila dia menceritakan pengalaman ditahan polis.
Gadis itu sekali lagi menunjukkan gelagat manja dan kebudak-budakannya sambil memakai topi keledar.
“Jangan tahan saya polis, saya ada kuasa pastu nanti keluar (kuasa),” jelasnya ketika disuruh menceritakan apa yang terjadi oleh teman lelakinya.
Sementara itu, di ruangan komen video terbaharu ini, netizen meluahkan rasa menyampah dan rata-rata dari mereka percaya bahawa gelagat manja ini sengaja dirakam kerana mahu menjadi terkenal dengan serta-merta.
Tidak dinafikan kedua pasangan ini dilihat seperti mencuba untuk menularkan video mereka sendiri menggunakan pendekatan yang sama seperti pasangan awek condol yang viral sebelum ini.
“Budak budak pengemis populariti, tahniah kepada spesis macam ni yang makin ramai di Malaysia baik lelaki atau wanita yang semakin miskin dengan pemikiran tapi makin kaya dengan idea mengemis populariti dari netizen,” tulis seorang pengguna Facebook.
“Sanggup buat video mcm ni? Eh, zaman sekarang ni kalau nak famous memang kena jadi bodoh dulu ke? Kau Melayu weh jangan buat malu kaum sebab kau nakkan perhatian umum,” kata Amirul Syafiq.
Terdahulu, video ‘awek cendol’ juga mengundang pelbagai reaksi negatif, namun kini ada yang berpendapat video ‘awek lipstick’ ini lebih teruk kerana sengaja mahu mempopularkan diri.
“Awek cendol tu bagi aku pakwe dia rakam tujuan nak bagi tau org ramai awek die manja kononnya. Tapi yang budak lipstick ni memang saja pakwe die rakam supaya dapat masuk Motif Viral jugak,” tulis Khairil Imran.
Tidak tahulah apa sebenarnya motif pasangan ini menyebarkan video itu, namun kata-kata netizen ini semua ada benarnya. Mungkin ini sahaja cara mereka untuk mengecap populariti dan dikenali ramai dengan mudah. – MYNEWSHUB.CC/EZ