SEORANG demi seorang anggota kumpulan Forteen muncul dengan lagu single solo mereka. Kini tiba pula giliran untuk Ariz Lufias menghasilkan lagu baharu solonya yang berjudul Pergi.
Bagi Ariz, lagu berkenaan merupakan kisah sebenar yang terjadi kepada dirinya sebelum ini dan menyifatkannya sebagai agak peribadi buatnya.
Menurut jejaka berusia 28 tahun itu, lagu berkenaan sudah lama dihasilkan tetapi ia baru sahaja dapat dikeluarkan baru-baru ini.
“Single ini cukup istimewa kerana lirik dan melodinya dihasilkan saya sendiri. Ia berkisar mengenai individu yang sering menerima ugutan untuk berpisah daripada kekasihnya, lantas tekad memilih membawa haluan sendiri.
“Saya turut menyelitkan maksud tersirat menerusi video muzik lagu ini dan teruja kerana ramai peminat dapat menerima mesej yang cuba disampaikan.
“Inilah lagu pertama ciptaan saya yang dibawa ke tengah dan dinyanyikan secara komersial. Saya berharap ia boleh diterima peminat muzik,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Pergi sepatutnya dilancarkan tahun lalu namun disebabkan ada beberapa isu tidak dapat dielakkan seperti kekangan waktu dan kesibukan menguruskan perniagaan serta aktiviti lakonan, dia terpaksa tangguh buat seketika.
Jadi, disebabkan secara kebetulan pada awal tahun ini dia mempunyai masa lapang, lagu berkenaan telah berjaya dikeluarkan secara rasmi pada 5 Mac lalu.
Dalam masa yang sama, ada beberapa dakwaan kononnya kumpulan Forteen bakal berpecah kerana mereka masing-masing mempunyai kerjaya solo sendiri.
Namun, dakwaan itu palsu semata-mata kerana sehingga kini mereka masih lagi bersama dan turut menerima banyak undangan persembahan.
“Ramai yang buat andaian kami bakal berpisah, sedangkan hakikatnya berbeza. Cuma, saya rasa tiba masanya untuk saya menghasilkan projek solo selepas melihat kejayaan Izzue, Ameer dan One.
“Kami saling menyokong dan menghormati kerjaya solo masing-masing, selagi tidak ganggu perancangan seni Forteen. Jadi, persoalan untuk bubar Forteen sama sekali tidak timbul,” tambahnya lagi.
Selain itu, Ariz juga bakal melancarkan produk makanan tambahan kesihatan di bawah jenamanya sendiri setelah lama mengamalkan produk berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/AH