GOLD COAST – Atlet angkat berat elit, Sharifah Inani Najwa Syed Anuar, sedikit pun tidak kecewa apabila gagal meraih sebarang pingat acara 53kg wanita pada Sukan Komanwel 2018, sebaliknya bangga mampu mempamerkan aksi lebih baik berbanding di Glasgow, Scotland.
Beliau melakukan angkatan seberat 170kg, mengangkat 75kg dalam acara snatch dan 95 kg dalam acara clean & jerk pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre berada pada kedudukan ketujuh.
“Prestasi hari ini hanya 90 peratus daripada rekod saya. Prestasi sebenar saya sekurang-kurangnya dapat pingat gangsa, angkatan 80kg (snatch) dan 102kg (clean & jerk) dalam tangan.
“Saya tidak kecewa dengan keputusan hari ini sebab saya nak tengok prestasi terkini pada tahap mana. Ternyata ia lebih baik daripada aksi di Glasgow, nama tidak ada pun dalam papan markah,” katanya.
Beliau digugurkan daripada program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) selepas aksi hambar di Glasgow pada 2014 dan kini bergerak secara sendiri.
Pada aksi hari ini, atlet berasal dari Pahang itu cuba untuk memecahkan rekod kebangsaan, 100kg bagi acara clean & jerk milik Azizah Fadzil pada cubaan ketiga, namun gagal membuat angkatan itu.
Sharifah Inani Najwi menempah tiket dalam acara 53kg wanita dalam temasya itu berdasarkan merit pada pertandingan kelayakan di Gold Coast, September lepas.
Beliau yang membuat kemunculan semula selepas tiga tahun tanpa kejohanan, menerima keputusan layak ke Sukan Komanwel pada Januari tahun ini dan hanya memulakan latihan intensif pada Februari.
Atlet itu kini merancang untuk berehat seketika bagi usaha mendapatkan cahaya mata. – BERNAMA