JIKA di Malaysia, pemilik motosikal model lama dianggap sebagai legenda hidup malah kenderaan beroda dua tersebut menjadi perhatian ketika di jalanan, namun lain pula halnya di Singapura.
Para pemilik motosikal usang itu kini boleh mendapat wang sehingga S$3,500 (RM10,280) jika mereka sanggup memilih secara sukarela untuk membatalkan pendaftaran kenderaan tersebut dalam masa lima tahun akan datang.
Inisiatif terbaharu oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu didedahkan hari ini sebagai langkah unik demi untuk mengurangkan pencemaran udara yang sebahagian besarnya disebabkan oleh motosikal jenis lama.
Insentif itu terbahagi kepada dua cara.Ā Pertama, pemilik menerima S$3,500 jika tidak perbaharui sijil pemilikan (COE) untuk motosikalnya selepas 7 April ini dan membatalkan pendaftaran motosikalnya sebelum 5 April 2023.
Atau kedua, jika pemilik itu memperbaharui COE motosikalnya pada atau selepas 7 April ini dan membatalkan pendaftaran kenderaan lama tersebut sebelum 5 April 2023, mereka hanya layak mendapat S$2,000 (RM5,875).
Bagaimanapun mereka juga bakal menerima rebat bagi baki tempoh COE yang tidak habis digunakan.Ā Hanya motosikal yang berdaftar sebelum 1 Julai 2003 dan mempunyai 10 tahun tempoh COE layak bagi insentif ini.
Namun bagi mereka yang bertegas tetap mahu memilih untuk terus menyambung penggunaan motosikal lama itu, pihak NEA akan mengetatkan tahap piawaian pengeluaran bahan pencemaran udara bermula 6 April 2023 depan.
Motosikal sebegini kemudian akan diizinkan untuk digunakan hanya sehingga 30 Jun 2028 jika mereka berjaya memenuhi standard lebih ketat itu.Ā Sebanyak 27,000 buah motosikal lama dijangka terjejas dengan inisiatif ini.
Langkah tersebut bagi menghapuskan sama sekali motosikal jenis lama di semua jalan raya dalam masa 10 tahun. Menurut NEA, motosikal buruk sebegitu sering menyumbang kepada sebahagian besar kadar pencemaran udara.
Untuk rekod, meskipun motosikal secara keseluruhannya membentuk 15% daripada jumlah kenderaan di jalan raya Singapura, ia menyumbang lebih separuh daripada pelepasan gas karbon monoksida yang beracun di republik itu.
Malahan, motosikal daripada model lama yang membentuk cuma 20% daripada jumlah keseluruhan motosikal di jalan raya negara pulau berkenaan menyumbang lebih 40% pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya itu.
Pemilik yang layak akan menerima surat daripada NEA berhubung skim ini menjelang akhir bulan ini. Persoalannya tergodakah mereka dengan tawaran wang atau kekal sentimental nostalgia lama? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA