SINGAPURA – Perdana Menteri Singapaura, Lee Hsien Loong hari ini mengumumkan beberapa rombakan dalam kabinet yang antara lain menyaksikan persaraan tiga orang menteri.
Tiga menteri yang akan berundur ialah Lim Hng Kiang (Menteri Perdagangan dan Perindustrian), Lim Swee Say (Menteri Tenaga Kerja) dan Dr. Yaacob Ibrahim (Menteri Komunikasi dan Penerangan).
Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Hng Kiang, Swee Say dan Dr. Yaacob atas khidmat dan sumbangan mereka dalam pelbagai portfolios selama bertahun-tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Lee juga menaikkan pangkat tiga pemegang jawatan dan melantik empat penyokong kerajaan ke jawatan baharu politik.
“Semua rombakan tersebut berkuatkuasa dari 1 Mei, 2018,” kata kenyataan itu.
Rombakan menyaksikan lima pelantikan melibatkan S. Iswaran yang menjadi Menteri Komunikasi dan Penerangan.
Menurut kenyataan, Iswaran akan kekal di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian tetapi akan ditugaskan semula sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
Chan Chun Sing akan dilantik Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan akan melepaskan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri.
Ng Chee Meng akan dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan akan melepaskan pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan (Sekolah) dan Menteri Pengangkutan Kedua.
Ong Ye Kung akan kekal di Kementerian Pendidikan, ditugaskan semula sebagai Menteri Penjdidikan dan bertanggungjawab bagi seluruh kementerian dan melepaskan pelantikannya sebagai Menteri Kedua bagi Pertahanan.
Sementara itu, Josephine Teo akan dilantik sebagai Menteri Tenaga Kerja dan akan terus kekal sebagai Menteri Kedua untuk Hal Ehwal Dalam Negeri tetapi akan melepaskan jawatan di Pejabat Perdana Menteri.
Rombakan kabinet juga menyaksikan 10 kenaikan, yang antara lain melibatkan Indranee Rajah yang dilantik sebagai menteri penuh.
Beliau juga dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Pendidikan Kedua.
Ia juga melibatkan Amrin Amin yang dilantik sebagai Setiausaha Kanan Parlimen dan kekal di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Rombakan itu juga menyaksikan tanggungjawab tambahan bagi Menteri Kewangan Heng Swee Keat yang akan mengambil alih tanggungjawab daripada Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean untuk membantu Perdana Menteri dalam hal melibatkan Yayasan Penyelidikan Kebangsaan.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli akan bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam sementara Menteri Negara di Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Dr. Janil Puthucheary akan mengambil alih tanggungjawab bagi Keselamatan Siber, kedua-dua dari Dr. Yaacob.
Keempat-empagt pelantikan baharu itu antara lain menyaksikan Zaqy Mohamad dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Tenaga Kerja. – BERNAMA