BATU KURAU – Rakyat diminta memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang terbukti sebuah kerajaan berhemah demi kepentingan rakyat dan negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kerajaan yang bijaksana dan mengikut undang-undang.
Beliau seterusnya berkata kerajaan sedia ada sekarang terbukti benar-benar bertanggungjawab dan memberi bantuan kepada rakyat.
“Kalau keadaan ekonomi kita tidak baik dan tidak diurus dengan baik, kita tidak boleh berikan bantuan, tetapi dengan ekonomi yang baik serta ramai bayar zakat dan cukai pendapatan membuktikan kerajaan menguruskan ekonomi dan perniagaan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program penyampaian BizGrant SSM dan program agihan zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Sempeneh Riverfront dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, 15 peniaga menerima bantuan pelbagai barangan perniagaan bernilai RM3,000 setiap seorang manakala 250 golongan asnaf menerima zakat RM200 setiap seorang.
Sementara itu, Hamzah berkata program BizGrant SSM adalah peruntukan berbentuk geran bantuan khusus untuk usahawan, yang dilancarkan di Arena Batu Kurau pada Mac lalu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan SSM membayar zakat berjumlah RM11.5 juta tahun ini bagi keuntungan pada 2017.
Justeru, katanya tuduhan pembangkang mengatakan bantuan berkenaan merupakan ‘gula-gula’ diberikan apabila dekat pilihan raya adalah tidak benar kerana zakat SSM itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kerana sudah dilaksanakan sejak sekian lama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata pihaknya mengeluarkan peruntukan BizGrant SSM bernilai RM1.5 juta kepada 1,500 peniaga di seluruh negara sejak dilancarkan Mac lepas.
Beliau berkata SSM memperuntukkan RM10 juta untuk membantu usahawan sebagai modal awal perniagaan mereka.
“Sehingga kini, kita menerima 10,000 pertanyaan mengenai BizGrant SSM dan mereka boleh memohon, dan kita akan menemuduga usahawan berkenaan,” katanya. – BERNAMA