SEBUT sahaja nama Teluk Intan, mungkin ramai mengenali keunikan bandar ini yang terletak di selatan Perak dan amat terkenal dengan bangunan bersejarah ikonik Menara Condong seumpama reka bentuk menara sama di Pisa, Itali.
Bagaimanapun landskap pembangunan Teluk Intan sebenarnya banyak berubah pesat hasil kesungguhan wakil rakyatnya sebelum Parlimen dibubarkan baru-baru ini, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga Presiden Parti Gerakan.
Uniknya kerusi Parlimen Teluk Intan dikatakan cukup rapat dengan imej beliau sendiri waima berbangsa Tionghua namun menerima sokongan padu pengundi Melayu yang teguh terhadap pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Ini juga berdasarkan kejayaan beliau rancak dalam membawa pelbagai program pembangunan selain berjaya memenuhi janjinya sendiri menerusi manifesto khas ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi tersebut pada 2014 lalu.
Siew Keong yang juga anak tempatan sebenarnya memang popular dalam kalangan masyarakat Melayu sejak sekian lama terutama di kawasan luar bandar kerana dedikasi beliau banyak bantu komuniti itu tanpa penat atau jemu.
Antaranya bekas guru besar sebuah sekolah di Changkat Jong, Zabidi Othman, 77, berkata, tokoh politik itu bukan sahaja rajin hadir ke Parlimen, beliau sering turun padang dan sedia melayan isu rakyat di pusat khidmatnya.
“Beliau berkhidmat kepada penduduk dengan baik. Justeru sokongan orang Melayu terhadap beliau terus bertambah. Kami percaya beliau sudah menang 90 peratus daripada undi Melayu di sini,” kata mantan pendidik itu.
Siew Keong, 56, sebenarnya pernah menjadi wakil rakyat di Teluk Intan selama dua penggal sejak 1999 tetapi tewas ketika PRU pada 2008 dan 2013 sebelum cipta sejarah menang semula dalam PRK kira-kira empat tahun lepas.
Apa yang menarik, meskipun pernah kalah dalam dua kali PRU sebelum ini, Siew Keong tidak pernah meninggalkan khidmat kepada penduduk, malah membantu mereka atas kapasiti peribadi lebih daripada penyandang kerusi itu.
Mengulas lanjut, Zabidi menambah, Siew Keong sememangnya amat akrab dengan komuniti Melayu kerana sifat perwatakan dirinya sendiri adalah jenis suka merendah diri tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana pihak.
“Beliau tidak pernah terlepas program di kawasan kampung walau sibuk macam mana sekalipun termasuk acara karnival masjid. Beliau mudah dihubungi dan dengar keluhan rakyat. Orang Melayu tiada isu dengan beliau,” katanya.
Hakikatnya, Siew Keong turut ada perancangan sendiri memajukan Teluk Intan menerusi manifesto khas sempena PRU ke-14 bulan dengan menggariskan lapan teras utama bermula dengan transformasi ekonomi kawasan itu.
Tidak ketinggalan Sharudin Darus, 54, yang menyifatkan Siew Keong telah membuktikan dirinya rapat dengan komuniti Melayu terutama menjaga kebajikan golongan miskin yang kurang mampu tanpa mengira fahaman politik.
“Sejak dahulu bekerja keras setiap hari. Bulan ini anjur klinik mata dan sumbang lebih 6,000 pasang cermin mata kepada penerima di pelbagai kampung. Beliau juga bantu edar lebih 40 kerusi roda untuk orang miskin,” katanya.
Sharudin malah berbangga lebih 5,000 keluarga di empat buah kampung bersyukur menerima manfaat projek tebatan banjir yang diusahakan Siew Keong dengan fasa pertama dilancarkan tahun lalu dan bernilai RM70 juta.
Pengurus kilang itu bahkan yakin, pilihan raya umum bulan depan menyaksikan sokongan masyarakat terhadap Siew Keong dan berkata: “Beliau pemimpin yang prihatin dengan orang Melayu. Kami mahu lihat dia kekal di sini.”
Dalam pada itu, bekas guru sekolah, Maimunah Ibrahim, 60, ada cerita menarik mengenai keperibadian Siew Keong amat suka tolong penduduk susah sejak menjadi wakil rakyat waima beliau pernah tewas sebelum dipilih semula.
“Kami tiada masalah meskipun beliau berbangsa Cina kerana wakil rakyat kami ini menjaga semua kaum tanpa masalah. Kami akan pastikan sebaik mungkin beliau akan menang sekali lagi,” kata wanita berkenaan. – MYNEWSHUB.CC