KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa permohonannya untuk memantau Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan media hari ini mendakwa penolakan itu bermaksud Suhakam tidak dibenarkan berada dalam kawasan pusat pengundian semasa pemantauan dijalankan.
“Keputusan ini sukar untuk difahami terutama apabila Suhakam mendapat makluman terdapat pasukan pemantau antarabangsa yang akan membuat pemantauan semasa pilihan raya itu dijalankan,” dakwanya.
Razali bagaimanapun menegaskan bahawa pihak Suhakam akan tetap meneruskan pemantauan PRU14 seperti yang telah dirancang.
“Suhakam menyeru SPR untuk mengiktiraf dan memperakui prinsip asas hak asasi manusia yang berkaitan dengan pilihan raya berintegriti,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC