AIR dicincang tidak akan putus, begitulah juga seperti hubungan sesama adik beradik antara pelakon Farid Kamil dan adiknya, Fadzil Zahari yang konon kini bermasam muka sesama sendiri.
Bagaimanapun, perkara itu telah dinafikan oleh Fadzil sendiri kerana dia sudah menjangkakan isu itu pasti akan diperkatakan selepas dia tidak kelihatan semasa sidang media tergempar yang dilakukan oleh Farid baru-baru ini.
“Mungkin ketiadaan saya ketika sidang media baru-baru ini mencetuskan ura-ura kami adik- beradik bergaduh.
“Sebenarnya saya ada urusan lain pada hari kejadian jadi tidak sempat untuk hadir sama memberikan sokongan kepada abang saya.
“Kami masih rapat dan saya masih hadir ke semua sesi prosiding mahkamah abang saya. Tiada masalah antara kami berdua,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Dalam masa sama, ibu bapa mereka kini juga sudah berada di ibu kota bagi memberikan sokongan kepada Farid berkaitan isu ditahan kerana mengasari pihak polis di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan beberapa lagi kesalahan yang dilakukan ketika itu.
Malah, Fadzil turut tidak membenarkan ibubapanya bergegas ke Kuala Lumpur ketika isu itu sedang berlaku kerana bimbang akan keselamatan mereka yang memandu dalam keadaan sedih dan tertekan.
“Selepas keadaan kembali reda barulah mereka datang ke sini dan tinggal bersama saya untuk memberikan sokongan moral kepada kami sekeluarga,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/ AH