PESAWAT untuk dinaiki ke pencalonan di Langkawi disabotaj pihak tertentu kata Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Katanya, ada pihak mensabotaj pesawat yang dijadual dinaiki untuk ke Pulau Pangkawi menyebakan beliau terpaksa meminjam pesawat lain untuk ke sana.
Drama terbaru ini menambahkan lagi sensasi yang dicetuskan Mahathir dalam menuju ke Pilihan raya Umum ke-14 ini.
Sebelum ini, beliau mengatakan yang keselamatan dirinya terancam, dan merungut mengatakan yang adakah pihak polis dan tentera hanya akan beri perhatian bila beliau dibunuh?
Drama ini nampaknya dibuat untuk menarik simpati pada dirinya, dan memastikan beliau sentiasa mendapat liputan media.
Cerita-cerita seperti ini, walaupun tidak masuk akal dan kadang-kadang bodoh, bila diucapkan oleh seorang pemimpin seperti Mahathir, memang mudah mendapat liputan media.
Helah ini digunakan oleh Donald Trump semasa kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang lalu.
Trump bercakap (dan menulis di Twitter) benda-benda yang mengejutkan dan mengarut, tanpa memikirkan akibat kenyataannya.
Hasilnya, satu kajian mendapati Trump mendapat liputan tertinggi dalam kalangan calon-calon presiden.
Apa yang menariknya ialah, Trump mengeluarkan belanja untuk media yang paling rendah, jauh lebih rendah berbanding Hillary Clinton, tetapi mendapat liputan paling banyak.
Sebabnya ialah beliau membuat kenyataan yang mendapat perhatian media, kenyataan mengejutkan, menjentik emosi, memprovokasi dan menakutkan.
Tidak kira reaksi marah orang ramai (yang memang sudah dijangka, dari pihak parti lawan), yang penting, dapat liputan media satu negara.
Kita dapat lihat kesan yang sama terhadap kenyataan-kenyataan Mahathir, yang terbaru dakwaan sabotaj pesawatnya.
Sebagai seorang newsmaker, hampir apa sahaja yang diucapkan beliau akan dapat liputan media.
Dalam musim kempen pilihan raya ini, semakin banyaklah berita tentang beliau akan terbit kerana beliau memimpin satu pakatan politik.
Dengan menimbulkan cerita seperti hendak dibunuh dan pesawat disabotaj, makin sensasilah berita mengenai beliau.
Semakin sensasi dan mengejutkan beritanya, semakin mudahlah beliau mendapat simpati dari orang ramai termasuk pengundi di Langkawi.
Bercakap tentang cerita ancaman dibunuh ini, sebelum ini yang pandai memainkan cerita seperti ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nampaknya sekarang ini Mahathir bukan sahaja bertanding menggunakan logo parti Anwar, tapi ada satu lagi persamaan dengan Anwar: membuat drama sensasi. – Mynewshub.cc