KEPUTUSAN mengejut yang diumumkan awal tahun ini oleh Presiden Donald Trump bagi memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis sebelum 1 Ramadan telah menimbulkan kemarahan umat Islam.
Pemindahan ini diatur untuk diadakan sempena ulangtahun ke-70 penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei, 1948.
Di sebalik keputusan tersebut, adakah anda mengetahui siapakah ‘syaitan’ yang menghasut Trump dan berkomplot dengannya bagi membantu Israel?
Individu berpengaruh terbabit adalah Sheldon Adelson, 84 yang merupakan pengasas kasino terbesar di Las Vegas, Las Vegas Sands dan juga penyokong utama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Lapor portal 972mag, Adelson yang berbangsa Yahudi-Amerika itu, selama ini tidak sabar dengan penundaan Trump untuk meneruskan janji menggerakkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis.
Apa yang telah dilakukan oleh Trump pada hari ini pernah disuarakan Adelson kepada presiden AS yang lepas, Barack Obama, 56.
Bagaimanapun, Obama telah menolak permintaan Adelson itu kerana tindakan tersebut bakal mengkucar-kacirkan lagi Palestin Israel dan akan menjejaskan perundingan antara kedua-dua belah pihak.
Adelson yang juga pemilik akhbar Israeli Daily dan Israel Hayom pernah menuduh rakyat Palestin mahu memusnahkan Israel.
Selain itu, Adelson pernah berselisih dan berang dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson atas sebab Tillerson memberi pandangan untuk memindahkan kedutaan AS harus bergantung kepada proses perdamaian semasa wawancara tv Meet the Press Mei tahun lalu.
Jutawan Nevada itu telah memberitahu Trump bahawa rakyat Palestin tidak boleh menjadi rakan rundingan dengan Israel.
Rentetan itu, Adelson dan isterinya Miriam membelanjakan lebih daripada AS$80 juta (RM311 juta) kepada Republikan pada tahun 2016, dan dia memberikan AS$5 juta (RM19 juta) dalam majlis perasmian Trump memindahkan kedutaan AS tersebut.
Adelson juga menawarkan untuk menampung sebahagian atau kemungkinan sepenuhnya perbelanjaan kedutaan baharu di Baitul Maqdis itu.
Rahsia di sebalik pilihan raya AS yang lepas, Adelson juga telah membelanjakan sebanyak $35 juta (RM136 juta) untuk membantu Trump menjadi presiden AS.
Trump secara dramatik mengubah mesejnya mengenai konflik Israel-Palestin dengan mengatakan bahawa dia akan memindahkan kedutaan itu ke Baitul Maqdis dan tidak akan membekukan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat.
Mesej tersebut diuar-uarkan bagi mendapatkan sokongan Adelson semasa kempen pilihan raya umumnya yang lepas.
Jelas, Trump banyak mengenang budi terhadap Adelson atas bantuan yang banyak diperoleh dari jutawan itu sekali gus menjadi penasihat Trump dalam kebanyakan keputusan yang dibuat terutamanya isu berkaitan Israel dan Palestin.
Kini, tidak hairan jika dilihat mengapa tindakan Trump lebih banyak menyebelahi Israel dan mengetepikan keadilan buat rakyat Palestin.
Alasan mahu mendamaikan konflik yang berpanjangan antara dua wilayah ini hanya sekadar sandiwara kerana layanan seperti ‘anak emas’ telah diberikan kepada sebelah pihak semata-mata. – MYNEWSHUB.CC/MIZE