ROMPIN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini, bertitah mahu melihat lebih ramai individu menyertai sukan catur, khususnya daripada kalangan golongan muda.
Baginda bertitah selain membantu mengasah minda untuk lebih fokus dan meningkatkan kemahiran berfikir, sukan catur juga berupaya meningkatkan jati diri pemain selain menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala negatif.
“Permainan ini boleh dianggap seperti perjuangan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara dengan sentiasa berwaspada pada setiap ancaman serta pergerakan lawan.
“Akhirnya semua ini mampu diterjemahkan dengan kemenangan seperti di atas papan catur dalam menangkis serangan pihak lawan.
“Begitulah dengan kehidupan seharian, rakyat, pemerintah dan raja mempunyai peranan tersendiri,” titah baginda pada Perasmian Kejohanan Catur Terbuka Antarabangsa Piala Tengku Mahkota Pahang di sini, hari ini.
Teks ucapan baginda dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Seri Mohd Johari Hussain dan Presiden Persatuan Catur Negeri Pahang (PCP) Hamidah Abdul Hamid.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, disertai seramai 476 peserta dari seluruh negara.
Tengku Abdullah yang juga penaung PCP mengambil analogi permainan catur seterusnya bertitah setiap individu wajib bersatu untuk membina strategi yang mampu mengelirukan pihak lawan daripada mengganggu kedaulatan negara.
“Bukan setakat itu, kita harus memainkan peranan agar tidak melampaui batas dalam apa juga perkara.
“Seandainya tiga elemen ini dititikberatkan iaitu memahami peranan, bersatu dalam merangka dan melaksana strategi serta tidak boleh melampaui batas…maka yakin dan percaya kemenangan pasti diperoleh,” titahnya. – BERNAMA