GUA MUSANG – Ketua UMNO bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berdepan pertandingan tiga penjuru di Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Penyandang kerusi Parlimen itu akan dicabar Abdullah Hussein (PAS) dan Mohd Nor Hussin (PKR-PPBM).
Pada PRU13, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 8,413 undi dalam pertandingan satu lawan satu menewaskan calon PAS, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang iaitu Nenggiri, Paloh dan Galas turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR.
Penyandang DUN Galas yang ditukarkan untuk bertanding di DUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff (BN) akan berdepan Md Sidek @ Mohd Saupi Ab Razak (PAS) dan Othman Yusoff (PKR).
DUN Paloh pula menyaksikan pertembungan antara Amran Ariffin (BN), Azman Ahmad (PAS) dan Noraini Husain (PKR) manakala DUN Galas menyaksikan pertembungan membabitkan Mohd Syahbuddin Hashim (BN), Suhaimi Mat Deris (PAS) dan Nasir Dollah (PKR).
BN menyapu bersih kerusi Parlimen dan DUN kawasan berkenaan pada pilihan raya umum yang lalu dan merupakan kubu kuat parti itu di Kelantan. – BERNAMA